'Meniaga 4 hari tetap bayar sewa RM4,000 sebulan'

Iklan
Penutupan operasi perniagaan dalam tempoh PKP dan fasa kedua Pelan Pemulihan Negara memberikan tekanan kepada peniaga terutama bukan barangan keperluan. Gambar kecil: Mohd Roslan

IPOH - Kira-kira 100 penyewa di dalam Pasar raya Besar Mydin Meru Raya, di sini merayu agar diberikan rebat atau pengecualian bayaran sewa bagi mereka yang terkesan akibat pandemik Covid-19 ketika ini.

Wakil peniaga, Noratikah Muhd Umar, 26 berkata, kebanyakan peniaga yang menyewa kios begitu tertekan dengan bayaran sewa penuh dikenakan pihak pengurusan sewaan kios iaitu Scenic Prima Sdn Bhd sedangkan jualan tidak dapat dijalankan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, lebih membebankan tiada sebarang pengurangan atau diskaun sewaan diberikan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedangkan perniagaan tidak boleh beroperasi.

"Ketika PKP 3.0 saya hanya sempat meniaga empat hari sahaja sedangkan bayaran sewa bulanan RM4,000 sudah dibayar. Baki hari yang saya tidak meniaga itu dikira hangus dan perlu bayar jumlah yang sama pada bulan berikutnya.

Iklan

"Kalau tak bayar, saya dan kawan-kawan terpaksa keluar malah deposit kami juga mungkin tidak dipulangkan. Bayangkan betapa susahnya kami ketika ini, kami bayar sewa tapi tidak boleh beroperasi," katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar di sebuah premis di Mydin Meru Raya, di sini pada Rabu.

Dia yang menjalankan perniagaan pakaian berkata, sejak dua bulan lalu perniagaannya tidak dapat beroperasi malah bermula PKP 1.0 jualan terus merosot memandangkan kuasa membeli semakin berkurangan.

Iklan

Menurutnya, beberapa peniaga lain juga berdepan masalah sama malah ada yang sudah gulung tikar dengan jualan sehari sekitar RM30 hingga RM100 sahaja.

Noratikah berkata, kadar sewaan juga berbeza mengikut lot dan aras dengan anggaran RM3,500 hingga RM6,000 sebulan.

Seorang lagi peniaga, Mohd Roslan Ahmad Rusli, 29 berkata, sehingga kini terdapat lebih 30 peniaga yang sudah gulung tikar dan mengambil keputusan untuk tidak menyambung sewaan di situ kerana tidak mampu menanggung beban.

Menurutnya, kesemua peniaga di pasar raya berkenaan berharap rayuan mereka didengar dan dipertimbangkan agar penyelesaian secara menang-menang dapat dicapai.

Noratikah (duduk, kanan) bersama sebahagian peniaga ketika sidang akhbar di sebuah premis di Pasar Raya Besar Mydin Meru Raya, di sini pada Rabu.

"Kita amat berharap pihak berkaitan dapat membantu menyelesaikan masalah ini supaya beban ditanggung dikurangkan kerana golongan peniaga sangat terkesan dengan penutupan perniagaan ketika ini.

"Kami juga mengharapkan agar kios yang ada di dalam bangunan ini diuruskan terus di bawah Mydin dan bukan di bawah Scenic Prima Sdn Bhd," katanya.

Dalam pada itu, pihak media cuba mendapatkan maklum balas daripada pihak pengurusan Scenic Prima Sdn Bhd namun wakil terbabit enggan mengulas lanjut sebaliknya meminta penjelasan berkenaan dibuat oleh pihak pengurusan Mydin Mohamed Holding.

Sementara itu, Ketua Bahagian Pengurusan Harta dan Fasiliti Mydin Mohamed Holdings Bhd, Mohd Azwan Ahimmat berkata, pihaknya memang memberikan rebat kepada syarikat Scenic Prima Sdn Bhd sebelum ini ketika pelaksanaan PKP 1.0 sebanyak 100 peratus.

Malah katanya, pada PKP 3.0 pula 30 peratus rebat turut diberikan pihak Mydin kepada pengurusan tersebut bagi cawangan Mydin Bukit Jambul, Pulau Pinang manakala cawangan lain akan diumumkan kemudian memandangkan situasi semasa Covid-19 tidak menentu dan banyak perniagaan termasuk Mydin tidak dapat beroperasi seperti biasa.

Jelas Mohd Azwan, bagaimanapun pihaknya tidak dimaklumkan sama ada rebat itu turut diberikan kepada penyewa Scenic Prima Sdn Bhd atau sebaliknya kerana perkara itu di luar bidang kuasa Mydin dalam menentukannya.

Beliau berkata, rebat berkenaan seharusnya diberikan kepada semua penyewa dan bukan penyewa tertentu sahaja memandangkan hampir keseluruhan peniaga terkesan dalam tempoh pandemik ini.

"Saya fikir mungkin ada berlaku salah faham di antara Scenic Prima Sdn Bhd dengan penyewa. Sepatutnya rebat yang kita berikan ini diberikan kepada penyewa juga.

"Kita memahami situasi yang dihadapi oleh kedua-dua pihak kerana Scenic Prima Sdn Bhd juga mempunyai komitmen bayaran bulanan dengan pihak Mydin," katanya.

Beliau berkata, pada PKP 1.0, pihak Mydin memberikan pengecualian bayaran 100 peratus dengan nilai keseluruhan sebanyak RM1.2 juta kepada Scenic Prima Sdn Bhd manakala pada PKP 2.0 tiada rebat diberikan.

Menurutnya, rebat yang diberikan itu bergantung kepada permohonan yang dikemukan oleh pihak Mydin kepada pemilik bangunan.

"Untuk penyewa di bawah pengurusan Mydin, memang kita berikan rebat kepada mereka sebelum ini. Cuma bagi bulan Jun kita masih menunggu jawapan daripada pihak pemilik bangunan sama ada memberikan rebat kepada kami atau sebaliknya.

"Jika pemilik bangunan ini berikan rebat untuk bulan Jun, jadi kita tiada masalah untuk berikan juga kepada penyewa-penyewa," katanya.