PUTRAJAYA - Perkhidmatan awam terus memberikan komitmen dan responsif terhadap keperluan semasa berpandukan data serta maklumat tepat dan terkini dalam penggubalan, pelaksanaan dasar, tindakan serta operasi yang telah diputuskan kerajaan.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali menegaskan kerjasama kukuh dan kesefahaman jitu antara agensi kerajaan dan swasta adalah ramuan utama kejayaan bagi setiap pelaksanaan program dan inisiatif terutamanya melalui Pelan Pemulihan Negara (PPN) untuk negara keluar dari kemelut pandemik ini.
"Kita mungkin belum berjaya, namun anggota perkhidmatan awam sentiasa teguh dalam menggalas amanah dan tanggungjawab yang diberikan demi negara yang tercinta," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Menurutnya, pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia telah mengakibatkan perubahan ketara dalam kehidupan manusia sejagat dan negara kini masih menghadapinya selama 18 bulan.
"Dalam mendepani krisis ini, kerajaan telah melaksanakan pelbagai strategi, inisiatif dan pelan tindakan bagi membendung penularan wabak Covid-19 untuk mengimbangi kehidupan dan kelangsungan hidup," katanya.
Beliau berkata, belum pernah dalam lipatan sejarah negara menempuh satu kehidupan penuh liku akibat pandemik Covid-19 melalui pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Walau bagaimanapun, impak kepada kelangsungan hidup ini dapat ditangani dengan pelaksanaan lapan pakej rangsangan ekonomi serta Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) secara besar-besaran kepada rakyat," katanya.
Dalam pada itu, Mohd Zuki berkata, Pakej Rangsangan Ekonomi yang didahului oleh Prihatin dan seterusnya Penjana, PermaiI, Pemerkasa serta Pemulih merupakan usaha strategik kerajaan dalam meringankan beban yang ditanggung oleh rakyat menerusi pelbagai saluran bantuan untuk menyokong kelangsungan ekonomi akibat penguatkuasaan PKP.
"Buat pertama kali dalam sejarah, kerajaan telah memperuntukkan lebih RM500 bilion bagi kesemua pakej yang dinyatakan demi memastikan kejayaan pelaksanaan program ini.
"Pada masa yang sama, PICK juga sedang giat dilaksanakan mengikut perancangan sejajar dengan bekalan vaksin yang diperolehi," katanya.
Seterusnya, beliau berkata, kerajaan juga telah memperuntukkan sebanyak RM5 bilion untuk perolehan dan penyediaan vaksin secara percuma kepada rakyat dengan lebih 11 juta penduduk telah menerima sekurang-kurangnya dos pertama vaksin.
"Selain itu, kerajaan juga terus mempertingkatkan keupayaan pemberian vaksin kepada rakyat dengan menyediakan lebih 1,800 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negara dan pemberian dos melebihi 400,000 sehari.
"Jumlah tersebut dijangka akan terus bertambah dengan ketibaan lebih banyak bekalan vaksin dan pertambahan PPV dalam masa terdekat untuk mencapai imuniti kelompok. Sekiranya semua usaha ini berjalan lancar, kita mampu mencapai sasaran 80 populasi rakyat mendapat vaksin dalam masa yang terdekat," katanya.
Sementara itu, Mohd Zuki turut menjelaskan pemberian vaksin secara agresif pasti dapat mengawal penularan wabak dalam komuniti sekali gus memberi harapan untuk menikmati kehidupan seperti sedia kala.
"Sokongan dan dokongan semua pihak akan menjadi peniup semangat untuk kita meneruskan perjuangan yang masih belum selesai ini," katanya.