SHAH ALAM - Program Vaksin Selangor (Selvax) berjaya mengedarkan 53,858 dos suntikan vaksin kepada komuniti dan industri sehingga Isnin.
Berdasarkan data yang dimuat naik di Facebook Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Selangor, Datuk Teng Chang Khim pada Rabu menunjukkan, sebanyak 41,165 dos suntikan sudah diberikan kepada Selvax industri.
Selvax komuniti pula mencatatkan sebanyak 12,693 dos suntikan kepada komuniti.
Kemajuan Selvax industri dan komuniti menunjukkan peningkatan ketara pemberian vaksin bermula dari 7 hingga 12 Julai lalu.
Pada 7 Julai lalu, Selvax industri mencatatkan sebanyak 30,927 dos sahaja, manakala Selvax komuniti pula merekodkan 10,092 dos suntikan.
Pada 9 Jun lalu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengumumkan peruntukan RM200 juta untuk menjayakan Selvax di bawah Pakej Kita Selangor 2.0 bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan vaksinasi kepada rakyat di negeri ini.
Selvax industri merupakan program berbayar terbuka kepada syarikat secara sukarela dengan sasaran sejuta pekerja melibatkan dua juta dos.
Selvax komuniti pula akan memberi manfaat kepada 250,000 warga Selangor yang masih belum divaksin membabitkan 500,000 dos.