PORT DICKSON - Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menguji seorang ibu tunggal, Siti Rohani Cheok Abdullah, 46, yang bukan sahaja ditinggalkan suami, malah sumber pendapatannya turut terjejas.
Keadaan itu menyebabkan hidupnya semakin terhimpit kerana berdepan hutang bank selain perlu menyara empat anaknya termasuk seorang anak orang kurang upaya (OKU).
Menurutnya, dia terpaksa mengenepikan perasaan malu untuk meminta simpati orang ramai di Facebook selain terpaksa menjual perkakasan rumahnya.
"Sejak PKP ini, ujian yang saya terima bertimpa-timpa membuatkan hidup saya sangat tertekan dan hilang arah.
"Untuk makan minum, Insya-ALLAH kami empat beranak tiada masalah lagi kerana ada sahaja orang yang sudi membantu. Apa yang saya risaukan ialah hutang kereta dan motosikal yang perlu dibayar" katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumahnya di Flat Taman Orkid pada Rabu.
Bagaimanapun dia mengakui lega dan bersyukur kerana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Linggi telah membantu menjelaskan bayaran sewa rumahnya yang tertunggak namun tetap runsing memikirkan bayaran selepas ini.
Katanya, sebelum ini dia bekerja sebagai tukang cuci di sebuah pejabat tetapi terpaksa 'dicutikan' susulan pelaksanaan PKP 3.0.
Bagi meneruskan hidup, Siti Rohani yang berpisah dengan suami bulan lalu berkata, dia kini bekerja sebagai tukang cuci di sebuah klinik secara sambilan.
"Itu pun saya dapat bekerja satu jam sahaja dengan dibayar gaji RM250 sebulan dan bersyukur kerana masih diberi kerja.
"Saya ada dapat peluang kerja lain, tapi terpaksa menolak kerana risau untuk tinggalkan anak perempuan OKU seorang diri memandangkan sejak kebelakangan ini saya tengok dia alami kemurungan yang teruk," katanya.
Tambahnya, dia juga bimbang anak sulungnya itu melakukan perkara tidak sepatutnya kerana keadaannya yang masih belum stabil.
Sebelum itu, ibu tunggal berkenaan menerima kunjungan dan sumbangan menerusi program Ops Bantu daripada Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed.
Menurutnya, dia bersyukur kerana terpilih menjadi salah seorang penerima bantuan dan ia sedikit sebanyak dapat membantu meringankan bebannya.
Sementara itu, Aidi Sham berkata, sejak program Ops Bantu itu dilancarkan 7 Julai lalu, sebanyak 57 keluarga yang terjejas akibat pandemik Covid-19 telah dibantu.
"Kita telah pun mengenal pasti sebanyak 300 keluarga dan kini telah terima lebih 225 permohonan bantuan daripada orang ramai.
"Bagi menjayakan program ini kita turut bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masjid untuk beri sumbangan kepada golongan asnaf," katanya.