Tun M cadang kerajaan kenakan cukai durian runtuh

Iklan
Dr Mahathir

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mencadangkan kerajaan mengenakan cukai durian runtuh atau 'windfall tax' untuk menyeimbangkan kesan buruk krisis Covid-19 terhadap ekonomi negara.

Beliau berkata, untuk seimbangkan impak buruk itu, pihak yang meraih keuntungan besar ketika krisis sekarang perlu membantu kerajaan untuk menolong golongan yang terjejas.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, pandemik itu memberi kesan berlainan kepada tiga golongan rakyat.

"Ada yang jadi cukup kaya misalnya syarikat pengeluar sarung tangan dan bank. Ada juga yang tidak rugi apa-apa pun, mereka dibayar gaji seperti biasa dan dapat gaji penuh walaupun sesetengahnya buat kerja tak macam biasa.

Iklan

"Ada pula yang tidak dapat gaji, hilang kerja dan tidak boleh berniaga. Mereka inilah terkesan teruk," katanya.

Beliau berkata demikian selaku panelis pada forum 'Reset Malaysia: Mampukah Ekonomi Malaysia Diselamatkan?' yang disiarkan secara langsung di Facebook Reset Malaysia pada Rabu.

Iklan

Turut bergandingan bersama beliau sebagai panelis adalah tiga pakar ekonomi iaitu Profesor Dr Jomo Kwame Sundaram; Dr Nungsari Ahmad Radhi dan Datuk Nizam Mahshar, manakala Ulya Aqamah Husamudin bertindak sebagai moderator.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, langkah mengenakan cukai durian runtuh itu dapat memberi pendapatan baharu kepada kerajaan.

"Ia kerana waktu darurat dan Covid-19 ini kerajaan kena banyak bantu dan keluar wang sebab ramai rakyat yang jatuh miskin," katanya.

Cadangan Dr Mahathir itu turut disokong dan dipersetujui kesemua tiga panelis lain yang berpendirian bahawa pelaksanaan cukai itu tidak harus lagi ditangguhkan.

Sementara itu, Dr Mahathir menegaskan, bagi memulihkan semula ekonomi negara yang makin parah, kes jangkitan harian Covid-19 perlu dikurangkan.

Katanya, kes positif harian yang terus naik dengan sebanyak 11,618 kes direkodkan pada Rabu menunjukkan kerajaan tidak dapat mengawal perkembangan wabak itu.

"Kalau tidak tumpu pada penyelesaian kes ini maka ekonomi akan terus merudum.

"Untuk tangani kes ini, kita perlu kembali kepada perkara asas iaitu perlu patuh prosedur operasi standard (SOP) dengan jaga jarak fizikal.

"Dengan penularan varian baharu iaitu varian Delta yang sangat mudah berjangkit, saya rasa kita perlu jarakkan diri sekurang-kurangnya dua meter dengan orang lain," katanya.

Beliau memberitahu, pemberian vaksinasi juga perlu dipertingkatkan dengan tumpuan tidak hanya diberikan untuk membuka pusat pemberian vaksin (PPV) yang berkapasiti besar.

Katanya, tempat pemberian vaksin perlu diperbanyakkan termasuk di kampung-kampung dengan penglibatan kakitangan yang minimum iaitu cukup dengan dua doktor, dua jururawat dan seorang pembantu agar seberapa ramai rakyat dapat menerima suntikan segera.

"Dalam menangani peningkatan kes juga, hospital sementara perlu diwujudkan agar pesakit tidak dikuarantin di rumah dan boleh diberikan rawatan terutama bagi yang memerlukan oksigen.

"Kalau dikuarantin di rumah, mereka tiada ada tabung oksigen," katanya.