Pelan jangka masa panjang PKS terjejas perlu dilaksanakan

Iklan
Nizam

SHAH ALAM - Kerajaan perlu melaksanakan pelan jangka panjang kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang terjejas akibat daripada pandemik Covid-19.

Pengerusi Persatuan Kajian Pembangunan dan Kemampanan Antarabangsa (Idris), Datuk Nizam Mahshar berkata, ini kerana pelan bantuan yang dilaksanakan pada masa ini hanya sekadar jangka masa pendek.

Iklan
Iklan

Menurutnya, bantuan yang disalurkan itu tidak mampu memberikan jaminan kepada usahawan PKS terjejas dalam menampung kehidupan mereka setelah menggunakan bantuan yang diberikan.

"Walaupun bagi subsidi, modal kepada mereka, namun masih ada masalah yang sama iaitu dari segi operasi dan permintaan rendah. Masalah ini akan kekal berlaku. Kerajaan sudah tidak ada kewangan yang banyak. Nak tambah bantuan pun susah.

Iklan

"Kerajaan perlu rancang siapa yang harus diutamakan. Ini adalah kelompongan di dalam kerajaan. Bagi saya, apa yang penting adalah memberi keutamaan kepada PKS. Selain itu, pekerja dan orang yang hilang kerja.

"PKS ada risiko untuk muflis kerana secara jelasnya, masalah ini (Covid-19) panjang dan mengambil masa paling cepat dalam enam bulan lagi. Kalau ada pelan pemulihan jangka pendek, beri suntikan sebulan atau dua bulan. Bagaimana empat bulan berikutnya?” soalnya.

Iklan

Beliau berkata demikian pada program Reset Malaysia: Mampukah Ekonomi Malaysia Diselamatkan? secara dalam talian pada Rabu.

Dari kiri: Ulya Husamudin, Nungsari Ahmad Radhi, Dr Mahathir Mohamad, Nizam Mahshar dan Jomo Kwame Sundaram semasa program Reset Malaysia: Mampukah Ekonomi Malaysia Diselamatkan? secara dalam talian pada Rabu.

Turut menjadi panelis, Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Pakar ekonomi, Profesor Dr Jomo Kwame Sundaram dan Dr Nungsari Ahmad Radhi manakala moderator, Ulya Aqamah Husamudin.

Mengulas lanjut, Nizam berkata, kerajaan perlu memastikan agar prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan tidak berubah-ubah dari masa ke masa.

Jelasnya, dengan polisi SOP yang berubah menyebabkan peniaga tidak dapat merancang bagi meneruskan perniagaan mereka.

"Bila polisi bertukar, peniaga tidak dapat merancang sama ada dia nak meneruskan atau tidak perniagaan. Ini semua memberi kesan kepada mereka.

"Kalau buat di peringkat awal, kita masih boleh kawal. Sebenarnya kita patut mempersiapkan PKS kita kepada pelan perancangan. Contohnya, pelancongan yang tidak boleh beroperasi. Mereka patut diberi pilihan dan peluang dari segi dana untuk rancang perniagaan mereka pasca Covid-19 nanti,” ujarnya.

Selain itu, beliau berpendapat, kerajaan tidak seharusnya memberi keutamaan kepada kumpulan syarikat yang lebih besar walaupun ia memberi pulangan ekonomi yang lebih baik.

Jelasnya, ini kerana terdapat sebahagian kilang yang menggunakan pekerja asing untuk menjalankan kerja.

"Keutamaan mesti diberikan kepada peringkat PKS yang ada dan mereka menggunakan pekerja tempatan. Ini yang harus diberi keutamaan dari segi pelan pemulihan kita,” katanya.