Terminal 2 LTSAAS dibangun jadi hangar canggih

Iklan
Pembangunan semula LTSAAS akan meneruskan hasrat Malaysia untuk menjadikan lapangan terbang itu sebagai hab aeroangkasa dan penerbangan perniagaan pilihan di Asia Pasifik.

KUALA LUMPUR - Terminal 2 Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (SAAS, Lapangan Terbang Subang) akan dibangunkan semula menjadi hangar yang canggih untuk penerbangan perniagaan, didorong oleh permintaan daripada syarikat penerbangan tempatan.

Dalam kenyataan pada Rabu, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) berkata, syarikat tersebut yang kini beroperasi di lapangan terbang itu seperti Berjaya Air Sdn Bhd dan Smooth Route Sdn Bhd akan menyediakan saluran untuk pertumbuhan mereka yang seterusnya.

Iklan
Iklan

"Berjaya Air dan Smooth Route komited untuk mengambil ruang tambahan yang ditawarkan di kemudahan baharu itu.

"Oleh itu, kelulusan kerajaan untuk pelan pembangunan semula SAAS dalam tempoh terdekat amat penting untuk memenuhi keperluan pengembangan penggiat industri ini,” katanya.

Iklan

MAHB berkata, tapak yang menempatkan Terminal 2 sebelum ini diperuntukkan untuk dibangunkan semula menjadi hangar untuk menampung penempatan semula dan pengembangan penyewa-pengendali penerbangan perniagaan sedia ada di lapangan terbang itu.

"Seluruh program atau langkah penempatan semula penyewa akan dilakukan secara berperingkat untuk merobohkan struktur hangar lama dan membina yang baharu sebagai ganti, dan pembangunan semula bekas tapak Terminal 2 menjadi hangar akan berfungsi sebagai fasa pertama yang penting untuk langkah penempatan semula penyewa ini,” menurut MAHB.

Iklan

Katanya, hangar baharu itu akan dibangunkan untuk memenuhi keperluan operasi penyewa serta mematuhi sepenuhnya keperluan keselamatan dan pihak berkuasa.

Menurut MAHB, pembangunan semula itu akan turut menyumbang kepada peningkatan kapasiti secara keseluruhan Subang Aerotech Park sebanyak 280 peratus dan akan meneruskan hasrat Malaysia untuk menjadikan Lapangan Terbang SAAS sebagai hab aeroangkasa dan penerbangan perniagaan pilihan di Asia Pasifik (APAC).

Ketua KLIA Aeropolis MAHB, Randhill Singh berkata, pembangunan semula itu memanfaatkan kedudukan semasa Malaysia sebagai pangkalan keempat terbesar untuk kumpulan jet perniagaan di APAC dan berfungsi sebagai pemangkin dalam mengembangkan pasaran penerbangan perniagaan tempatan hampir tiga kali ganda dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Oleh itu, katanya, pelan pembangunan semula itu akan mengukuhkan kedudukan Lapangan Terbang SAAS sebagai hab penerbangan perniagaan untuk rantau ini. - Bernama