PUTRAJAYA - Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali hari ini menegaskan bahawa perkhidmatan awam dalam mendepani pandemik Covid-19 kekal bertanggungjawab dan responsif terhadap keperluan semasa berpandukan data serta maklumat tepat dan terkini.
Berdasarkan panduan tersebut katanya, ia membolehkan kerajaan menggubal, melaksanakan dasar, tindakan serta operasi bagi menangani pandemik Covid-19.
"Dalam mendepani krisis ini, kerajaan telah melaksanakan pelbagai strategi, inisiatif dan pelan tindakan bagi membendung penularan wabak Covid-19 untuk mengimbangi kehidupan dan kelangsungan hidup," katanya dalam kenyataan pada Rabu mengenai pandemik Covid-19 dan komitmen penjawat awam.
Dengan mengumpamakan satu perlumbaan maraton yang panjang dan penuh getir ke garisan penamat, Mohd Zuki menjelaskan, peperangan dengan musuh yang tidak nampak itu amat mencabar, meletihkan dan memerlukan kekuatan serta ketahanan yang ampuh.
"Belum pernah dalam lipatan sejarah negara, kita menempuh kehidupan penuh liku akibat pandemik Covid-19 melalui pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Bagaimanapun, impak kepada kelangsungan hidup rakyat dapat ditangani melalui pelaksanaan lapan pakej rangsangan ekonomi dan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK),” katanya.
Mohd Zuki memberitahu, pakej rangsangan ekonomi merupakan usaha strategik kerajaan dalam meringankan beban yang ditanggung oleh rakyat menerusi pelbagai saluran bantuan untuk menyokong kelangsungan ekonomi akibat penguatkuasaan PKP.
Pakej rangsangan ekonomi terlibat adalah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI), Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) serta Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH).
Menurutnya, kerajaan memperuntukkan lebih RM500 bilion bagi kesemua pakej rangsangan tersebut demi memastikan kejayaan pelaksanaannya.
Kata Mohd Zuki, kerajaan memperuntukkan RM5 bilion untuk perolehan dan penyediaan vaksin secara percuma kepada rakyat dan PICK sedang giat dilaksanakan mengikut perancangan sejajar dengan bekalan vaksin yang diperoleh.
Sehingga kini, lebih 11 juta penduduk telah menerima sekurang-kurangnya dos pertama vaksin Covid-19, katanya.
Mohd Zuki menjelaskan, kerajaan juga terus mempertingkatkan keupayaan pemberian vaksin kepada rakyat dengan menyediakan lebih 1,800 pusat pemberian vaksin (PPV) di seluruh negara dengan pemberian dos melebihi 400,000 sehari.
"Pemberian vaksin secara agresif ini pastinya dapat mengawal penularan wabak dalam komuniti kita sekali gus memberi harapan untuk kita semua menikmati kehidupan seperti sediakala,” katanya.
"Kita mungkin belum berjaya, namun anggota perkhidmatan awam sentiasa teguh dalam menggalas amanah dan tanggungjawab yang diberikan demi negara tercinta.
"Sokongan dan dokongan semua pihak akan menjadi peniup semangat untuk perkhidmatan awam meneruskan perjuangan yang masih belum selesai,” katanya. -Bernama