GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang menafikan kononnya terdapat dua bas yang membawa pesakit positif Covid-19 dari Kuala Lumpur dan Selangor ke negeri ini seperti tular di media sosial ketika ini.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, berita yang ditularkan itu sama sekali tidak benar.
"Saya menafikan berhubung berita yang diviralkan bahawa terdapat dua buah bas penuh muatan yang bertujuan memindahkan pesakit-pesakit positif Covid-19 dari ibu negara ke negeri ini. Ia sama sekali tidak benar.
"Saya dimaklumkan oleh Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), Datuk Dr Asmayani Khalib bahawa hanya seorang pesakit positif Covid-19 kritikal yang dipindahkan bagi mendapatkan rawatan di institusi perubatan di negeri ini," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, pesakit itu kini dilaporkan stabil dan masih dalam pemerhatian lanjut.
Sebelum itu, tular di media sosial satu hantaran yang ditulis dalam bahasa Inggeris iaitu"Sad news. Just received news that two busloads of Covid-19 patients had been imported to Penang from KL Selangor".
Hantaran itu mendapat pelbagai reaksi warganet yang menyifatkan tindakan itu tidak sepatutnya berlaku.
Pulau Pinang pada Rabu mencatatkan 210 kes positif Covid-19 menjadikan jumlah kes terkumpul 37,294 dengan 134 kematian.