JITRA - Sekumpulan anak muda Kampung Tok Jalai mengambil inisiatif mengumpul sebahagian daripada pendapatan harian mereka untuk membantu penduduk terjejas akibat pandemik Covid-19.
Wakil kumpulan, Mohamad Syafiq Abdul Rahman, 31, berkata, kebanyakan mereka bekerja sendiri iaitu pesawah, peniaga burger dan pemandu jentera pembajak mengagihkan barangan keperluan asas.
Menurutnya, walaupun pendapatan mereka turut terjejas berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun ada keluarga lain yang lebih memerlukan.
"Selain membantu golongan memerlukan, program sebegini dapat memupuk minat anak muda khususnya yang bekerja sendiri untuk turut menghayati nilai kemasyarakatan.
Apabila PKP dilaksanakan banyak kerja tergendala namun kami sepakat membantu dengan simpanan yang ada,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Mohamad Syafiq berkata, inisiatif ini tercetus melalui perbualan santai di grup aplikasi WhatsApp untuk membantu orang ramai khususnya warga emas yang terjejas serta individu yang tidak dapat bekerja.
"Ada yang tidak berpencen berdepan kesukaran meneruskan kehidupan seharian ketika berdepan ujian Covid-19.
Sebanyak RM2,000 berjaya dikumpulkan dan kami telah agihkan barangan makanan kepada 50 keluarga terjejas pada fasa pertama dan 30 keluarga untuk fasa dua,” katanya.
Menurutnya, setakat ini penyumbang terdiri daripada lebih 10 individu dan pihaknya turut mempelawa individu yang berminat untuk turut serta.
"Selepas ini kami bercadang menyumbang barangan basah sebelum Aidiladha. Program ini mendapat respon baik daripada penduduk setempat yang bersyukur dengan pemberian sumbangan selain menarik nafas lega kerana dapat meringankan beban perbelanjaan harian mereka,” katanya.
Mohd Syafiq berkata, program sebegini harus diperbanyakkan bagi menggalakkan masyarakat untuk turut membantu golongan memerlukan daripada terjebak dengan aktiviti tidak bermoral.
"Inilah masanya untuk kita menghayati konsep kemasyarakatan yang lebih baik dan cakna dengan keadaan jiran tetangga,” katanya.