SHAH ALAM - Lembaga Tabung Haji (TH) menyambut baik keputusan kerajaan untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ke atas isu berbangkit mengenai hasil pengauditan perunding dari tahun 2014 hingga 2020.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin berkata, TH akan memberikan kerjasama penuh kepada suruhanjaya tersebut berdasarkan perundangan.
"TH berpendapat bahawa hasil siasatan dan pandangan daripada RCI kelak dapat membantu menambah baik pengurusan dan aspek tadbir urus,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Pada Rabu, kerajaan memaklumkan menubuhkan RCI di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119) bagi menyiasat isu berbangkit mengenai Lembaga Tabung Haji (TH).
ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan tubuh RCI Tabung Haji
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu hasil persetujuan mesyuarat jemaah menteri yang bermesyuarat pada Rabu.
Menurut Ismail Sabri, penubuhan RCI itu hasil pengauditan perunding seperti PricewaterhouseCoopers (PwC), Ernst & Young (EY) dan Roland Berger dari tahun 2014 hingga 2020.
Tambah Amrin, aspek tadbir urus, integriti dan reputasi TH sebagai institusi simpanan kewangan Islam penting bagi memastikan keyakinan dan kepentingan orang ramai terjamin khususnya para pendeposit.
"TH sentiasa berusaha untuk melaksanakan proses penambahbaikan terhadap operasi dan urus tadbirnya untuk kepentingan pendeposit,” katanya.