'Enggan kongsi data punca kes Covid-19 tidak terkawal'

Iklan
Petugas kesihatan mengusung pesakit Covid-19 untuk mendapatkan rawatan kecemasan ketika tinjauan di Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) Stadium Malawati Shah Alam pada Rabu. - Foto Bernama, gambar kecil: Dr Musa

SHAH ALAM - Tindakan kerajaan menerusi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) menghentikan perkongsian data pandemik Covid-19 dengan semua negeri sejak September tahun lalu menyebabkan pandemik ini semakin tidak terkawal.

Pakar Perunding Pediatrik Hospital Pakar Damansara, Datuk Dr Musa Mohd Nordin berkata, Selangor menjadi antara negeri yang terkesan dengan tindakan itu memandangkan aplikasi SeLangkah yang dibangunkan kerajaan negeri tidak dapat melakukan pengesan kontak dengan cepat dan sempurna tanpa data nasional tersebut.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, aplikasi SeLangkah sebelum ini dapat melakukan pengesanan kontak dengan berkesan bagi memastikan kes-kes Covid-19 dapat dikawal sebaiknya.

"Sejak September 2020, aplikasi MySejahtera merupakan ekosistem kesan kontak di Selangor.

Iklan

"Lonjakan kes-kes Covid-19 di negeri ini melonjak selepas MySejahtera mengambil alih, menunjukkan bahawa KKM gagal melakukan pengesanan kontak dengan cepat dan berkesan," katanya menerusi satu kenyataan pada Rabu.

Pada November tahun lalu, Exco Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud pernah membangkitkan perkara sama apabila tindakan KKM yang enggan berkongsi data berkenaan menyukarkan kerajaan negeri untuk mencegah penularan wabak tersebut.

Iklan

Katanya, halangan bagi mendapatkan data itu dibimbangi hanya akan menimbulkan rasa panik dalam kalangan rakyat sekiranya berlaku penularan Covid-19 di sesebuah kawasan.

Dalam pada itu, Dr Musa turut mendakwa KKM hanya melakukan pengesanan kontak dengan menggunakan kaedah manual kerana sistemnya tidak secanggih aplikasi SeLangkah.

"Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba sendiri mengakui kelemahan ekosistem pengesanan kontak MySejahtera.

"Cubalah saudara bayangkan seorang inspektor kesihatan terpaksa menelefon 400 hingga 600 orang bagi urusan kontak rapat dan jika strategi ini gagal, maka kes Covid-19 akan merebak dalam komuniti menyebabkan penularan sporadik yang liar serta tidak terkawal," katanya.

Tambah beliau, kerajaan negeri dan Selangor Task Force Covid-19 (STFC) telah berjaya mengawal pandemik Covid-19 sejak awal Januari 2020 sehingga gelombang ketiga pada Oktober tahun sama.

"Bilangan kes Covid-19 amat sedikit bagi tempoh itu menunjukkan bahawa kawalan amat baik namun kadarnya naik mendadak selepas Oktober 2020," katanya.