SHAH ALAM – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menyifatkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu-isu berbangkit mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) adalah wajar bagi merungkai beberapa persoalan akibat spekulasi yang diutarakan dalam kalangan rakyat.
Presiden MCW, Jais Abdul Karim berkata, ianya adalah demi kepentingan umat islam, pendeposit dan integriti Lembaga TH sebagai institusi pelaburan serta kewangan Islam.
"MCW ingin mengalu-alukan keputusan ini dan menyifatkannya sebagai satu keputusan tepat dibuat pada masa juga bertepatan dengan keperluannya.
"Rakyat telah meminta agar RCI ini dibuat lebih awal lagi namun kita juga faham bahawa kerajaan juga berdepan dengan pelbagai kekangan terutamanya pandemik Covid-19,” katanya menerusi kenyataan pada Rabu.
Sebelum itu, kerajaan dilaporkan akan menubuhkan RCI di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119) bagi menyiasat isu-isu berbangkit mengenai Lembaga TH.
ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan tubuh RCI Tabung Haji
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu hasil persetujuan mesyuarat Jemaah Menteri yang bermesyuarat pada Rabu.
Mengulas lanjut, Jais berkata, antara persoalan yang perlu disiasat adalah adakah benar kerajaan Pakatan Harapan (PH) terpaksa melakukan pelbagai tindakan drastik akibat kelemahan pengurusan Lembaga TH semasa pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN).
"Terdapat juga akaun Lembaga TH yang tidak diaudit sehingga ke hari ini dan hasil audit tidak dibawa ke Parlimen sebagaimana kehendak undang-undang. Status kewangan Lembaga TH sentiasa menjadi pertikaian banyak pihak.
"RCI itu juga akan dapat menentu sahkan sama ada berlaku penjualan lambak di bawah harga pasaran terhadap ladang-ladang milik TH Plantation dan mendedahkan tujuan aset-aset TH dipindahkan ke syarikat milik Kementerian Kewangan, Urusharta Jemaah Sdn Bhd (UJSB),” katanya.
Beliau turut berpendapat bahawa rakyat berhak mendapat penjelasan yang telus dan jelas mengenai segala tuduhan penyelewengan yang digembar-gemburkan oleh kerajaan terdahulu.