SINGAPURA - Seorang maut manakala 16 lagi dipercayai cedera selepas bas yang mereka naiki terbabit dalam satu kemalangan di Kompleks Imigresen dan Kastam (KIK) Tuas, di sini, awal pagi tadi.
Memetik laporan salah satu portal berita dari negara republik berkenaan, bas dari Malaysia itu dipercayai merempuh pembahagi jalan dalam kawasan fasiliti terbabit.
Menurut Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu kira-kira jam 4.25 pagi.
"Dalam kejadian ini, mayat seorang individu telah ditemui manakala 16 lain dipercayai cedera.
"Mereka yang cedera kini telah dikejarkan ke Hospital Besar Ng Teng Fong dan Hospital Universiti Nasional untuk menerima rawatan," katanya.
Sementara itu, Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) Singapura memaklumkan lorong kenderaan berat yang menuju ke arah Singapura telah ditutup susulan nahas tersebut.
Katanya, bas dan lori yang menggunakan laluan itu akan dilencongkan semula memasuki Malaysia.
Pihak penguatkuasa itu turut menasihatkan pemandu lori dan bas yang mahu memasuki Singapura untuk menggunakan Pusat Pemeriksaan Woodlands.