SIAPA yang tidak panik melihat angka kes harian Covid-19 naik mencanak. Akhbar ini dalam laporan muka depannya pada Rabu mengatakan suasana makin kalut. Ada yang tidak suka dengan laporan tersebut tetapi itulah hakikatnya.
Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di Stadium Malawati, Shah Alam terus sesak dengan ribuan pesakit Covid-19 sehingga terpaksa beratur panjang, suasananya seolah-olah di"medan perang’’.
Sementara kes harian Covid-19 di Malaysia kekal melebihi 11,000 untuk dua hari berturut-turut dengan 11,618 kes dilaporkan semalam, sekali gus yang tertinggi pernah direkodkan di negara ini.
Itu bukan angka yang biasa-biasa. Rakyat boleh menilai sendiri. Semua orang tahu negeri mana yang mencatatkan kes harian Covid-19 paling tinggi.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari sendiri mengakui, 80 peratus kluster kilang punca kes Covid-19 di negeri itu tetapi anehnya, menteri yang berkaitan cuba menafikannya.
Malaysia kini berada pada kedudukan pertengahan dalam senarai negara-negara Asia dari sudut jumlah kematian berbanding populasinya walaupun terdapat peningkatan jumlah korban akibat Covid-19 yang meragut lebih dari 6,000 nyawa.
Data yang dikumpulkan Worldometer – sumber statistik yang dipercayai secara global dan dirujuk oleh kerajaan dan organisasi media antarabangsa – meletakkan Malaysia pada kedudukan ke-26 dari 49 buah negara mengikut kadar kematian bagi setiap satu juta populasinya.
Rakyat terpinga-pinga, mengapa angka kes Covid-19 menjadi begitu tinggi selepas 485 hari mengurung rakyat melalui Perintah kawalan Pergerakan (PKP)?
Rakyat semakin marah. Awang Paku Serpih dalam pojoknya semalam berkata, rakyat semakin berani mengecam orang politik dan pemimpin di media sosial. Rakyat dalam keadaan susah, tentulah kadar marah mereka juga meningkat, katanya.
Hari ini, atas kepentingan politik kepartian nyawa rakyat menjadi taruhan. Ketika Covid-19 sedang mengganas, orang politik masih sibuk berebut kuasa.
Pergolakan politik ketika ini ternyata membuat rakyat muak dan menganggap fokus utama kepimpinan telah beralih kepada kepentingan parti semata-mata berbanding penderitaan mereka.
Lebih menyakitkan hati, ketika keadaan yang sedang meruncing, ada menteri yang dilaporkan melancong bersama keluarga ke Turki.
Ketika rakyat diminta berkurung di rumah, ada pemimpin politik yang boleh jumpa anak di luar negara.
Ketika rakyat tidak boleh bertemu keluarga di kampung, ada menteri yang dilaporkan melawat mantan pemimpin negara yang tidak sihat. Ada pula yang tidak malu-malu melanggar SOP.
Mungkin golongan inilah yang tidak kisah dengan angka Covid-19 yang semakin naik. Tolonglah. Sama-sama bantu rakyat, pulihkan keadaan negara. Bukan dalam keadaan sekarang fikir politik dan kepentingan sendiri sahaja.
Semakin menambahkan kerisauan rakyat ialah apabila Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, varian baharu Delta sudah merebak hampir ke setiap negeri, menyebabkan berlakunya peningkatan kes mendadak.
Mutasi
Varian Delta ini merebak dengan cepat dan jangkitan ini adalah melalui udara. Dalam masa yang singkat sahaja ia boleh dijangkiti.
Lebih membimbangkan, varian Delta dikatakan kalis vaksin kerana sudah bermutasi.
Mujurlah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin bertindak pantas apabila bersetuju dengan permohonan sebanyak RM1.1 bilion daripada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk meningkatkan keupayaan petugas barisan hadapan.
Harapan masih diletakkan dalam usaha mencapai imuniti kelompok. Pada Isnin, jumlah suntikan harian vaksin Covid-19 negara mencecah rekod tertinggi iaitu sebanyak 421,479 dos dengan pemberian dos pertama sebanyak 264,034, manakala dos kedua pula sebanyak 157,445 suntikan.
Sementara itu, sebanyak dua juta dos vaksin yang dijangka tiba hujung bulan ini akan diagihkan ke Lembah Klang bagi membantu mempercepatkan usaha mengawal penularan jangkitan Covid-19 di kawasan berisiko tinggi.
Perang masih panjang, musuh pula semakin ganas. Frontliners semakin keletihan, rakyat pula tertekan. Perintah berkurung ini mungkin mengambil masa yang lebih panjang tetapi kita tidak boleh mengalah.
* Azmi Tarmizi ialah Pengarang Eksekutif Sinar Harian