SEREMBAN - Pasaraya AEON Seremban 2 ditutup selama tujuh hari berikutan terdapat jangkitan Covid-19 di pasar raya berkenaan pada Rabu.
Menurut kenyataan yang disiarkan oleh pihak pengurusan AEON Seremban 2 pada Rabu, penutupan ini dilakukan bagi membolehkan kerja-kerja sanitasi penuh dilakukan.
"AEON Mall Seremban 2 akan menjalani latihan sanitasi sepenuhnya sebagai langkah pencegahan. Pusat beli-belah ini ditutup buat sementara waktu mulai jam 5 petang Rabu (14 Julai 2021) sehingga diberitahu kelak.
"Di Pasaraya AEON, kesihatan dan kesejahteraan pekerja-pekerja, serta pelanggan dan rakan niaga adalah keutamaan kami. Kami akan terus mematuhi setiap polisi dan proses pengendalian jangkitan dan mematuhi sepenuhnya langkah pencegahan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.
"Kami menghargai sokongan berterusan yang diberikan, dan berharap dapat memberikan standard perkhidmatan terbaik AEON ketika kami memulakan semula operasi," katanya.
Bagi mendapatkan maklumat lanjut dan terkini, orang ramai boleh melayari laman sosial di Facebook AEON Seremban 2.
Difahamkan pasar raya tersebut diarah tutup sehingga 20 Julai berikutan terdapat jangkitan Covid-19 dalam kalangan pekerja menyebabkan saringan bersasar perlu dilakukan bagi mengesan kontak rapat.
Orang ramai yang mengunjungi pasar raya tersebut dinasihatkan supaya berwaspada dan melakukan pemantauan kendiri, jika terdapat gejala segera pergi ke klinik kesihatan berdekatan untuk membuat pemeriksaan saringan Covid-19.