SHAH ALAM – Pelupusan kepada 80 peratus hutang peneroka masih menjadi pertikaian kerana ada peneroka atau waris mendakwa jumlah yang dinyatakan bukan gambaran sebenar.
Bekas Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Datuk Mazlan Aliman berkata, bahagian kewangan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) perlu memperbetulkan semula mengenai perkara itu.
"Elemen dalam sesuatu kontrak termasuk perjanjian antara Felda dan peneroka adalah tawaran, penerimaan dan balasan mestilah dipersetujui kedua-dua belah pihak.
"Dalam hal ini, adalah tidak adil jika beban pelanggaran terma perjanjian hanya tertanggung kepada peneroka,” katanya menerusi kenyataan pada Khamis.
ARTIKEL BERKAITAN: RM8.3 bilion hutang peneroka Felda dilupus
Minggu lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan bersetuju melupuskan sebahagian pinjaman peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion secara bersyarat.
Menurut beliau, persetujuan itu mengambil kira isu hutang peneroka yang disifatkan harus diperbetulkan terlebih dahulu untuk memudahcarakan proses penjanaan semula atau restart Felda.
Muhyiddin berkata, menerusi inisiatif tersebut, bebanan pinjaman yang ditanggung peneroka akan berkurangan sebanyak purata 80 peratus bagi setiap peneroka.
Mengulas lanjut, Mazlan menambah, tindakan perundangan atau mahkamah boleh dikenakan kepada peneroka atau waris manakala peneroka boleh mengadu kepada Jawatankuasa Tanam Semula sekiranya kesalahan dilakukan oleh pengurusan Felda.
Dakwanya, terdapat unsur berat sebelah sama ada membabitkan perjanjian antara Felda dan peneroka, perjanjian tanam semula, perjanjian pembelian saham FGV Holdings Bhd (FGV), dan kini perjanjian penghapusan hutang peneroka.
"Pindaan atas terma perjanjian perlu dibuat untuk memastikan Felda juga dikenakan tindakan perundangan jika melakukan pelanggaran,” katanya.
Menurutnya, pada ketika ini, jumlah peneroka asal yang masih hidup tidak sampai 40 peratus dan generasi baharu Felda adalah kelompok majoriti.
"Di sudut Akta Penempatan Berkelompok (GSA) 1960, apa status mereka? Sebagai waris, mereka yang bertanggungjawab atas beban hutang dan terma perjanjian.
"Adalah penting, Akta GSA 1960 dipinda bagi memuktamadkan status waris agar ia jelas dari sudut akta apatah lagi di bawah kaedah faraid,” katanya.