Dari San Siro ke Parc des Princes

Iklan
Donnarumma

GIANLUIGI Donnarumma melaungkan tekad untuk meraih sebanyak kejuaraan bersama kelab liga Perancis, Paris Saint Germain (PSG) selepas direkrut Les Parisiens kendalian bekas pengendali Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino bagi saingan musim ini.

Menurut Donnarumma, PSG merupakan destinasi kedua karier bola sepaknya selepas melakukan 215 penampilan bersama gergasi liga Itali, AC Milan selama enam tahun di San Siro.

Iklan
Iklan

"Sesungguhnya saya amat teruja dan gembira kerana dapat menjadi sebahagian daripada warga kelab besar Paris ini.

"Saya merasa cukup amat bersedia untuk menghadapi cabaran baharu ini seterusnya terus berkembang di sini.

Iklan

"Dengan kelab besar seperti Paris Saint Germain ini, saya mahu memenangi lebih banyak lagi trofi kejuaraan domestik dan Eropah sekaligus menghadirkan kegembiraan kepada penyokong Les Parisiens," katanya

Gergasi Perancis tersebut merekrut Donnarumma yang juga sebelum ini dilabel sebagai Pemain Terbaik Euro 2020 semasa membantu Itali menjulang kejuaraan berprestij bola sepak Eropah itu dari AC Milan secara percuma dengan kontrak lima tahun untuk berkhidmat bersama kelab ibu kota Perancis tersebut.

Iklan

Untuk rekod penjaga gol Gli Azzurri berusia 22 tahun sebelum ini mencipta sensasi tersendiri apabila menjadi penjaga gol kedua termuda melakukan debut bersama AC Milan di usia 16 tahun 242 hari dalam saingan Serie A pada 2015.

Donnarumma yang membentuk diri sebagai pemain bola sepak bersama kelab remaja, ASD Club Napoli pada 2003 kemudianya membantu I Rossoneri menjulang kejuaraan Piala Super Itali setahun kemudian.

Kehadiran Donnarumma membolehkan benteng terakhir itu kini bersama bintang PSG lain seperti Neymar dan Kylian Mbappe dalam memacu skuad Pochettino itu ke peringkat lebih tinggi lagi.

Dalam pada itu, Presiden PSG, Nasser Al-Khelaifi menyifatkan kehadiran Donnarumma ke Parc des Princes merupakan perkhabaran gembira buat kelab tersebut.

"Saya amat gembira dengan kehadiran Donnarumma ke dalam keluarga besar Paris Saint Germain ini.

"Tahniah juga atas kejayaan menjulang kejuaraan Euro 2020 bersama Itali, selain merupakan pemain terbaik pertandingan.

"Saya percaya warga Les Parisiens baik daripada penyokong-penyokong, kakitangan dan barisan kejurulatihan juga teruja kerana kelab ini dapat memiliki khidmat Donnarumma.

Untuk rekod, anak buah Gli Azzurri, Roberto Mancini tersebut merupakan pengrekrutan kelima Les Parisiens selepas merekrut Danilo Pereira (Porto FC), Achraf Hakimi (Inter Milan), Ramos (Real Madrid) dan Georginio Wijnaldum (Liverpool).

Dalam pada itu, Pengarah AC Milan, Paolo Maldini mengakui kecewa kehilangan khidmat Donnarumma yang mengambil keputusan meninggalkan San Siro.

"Ketiadaan Gigio masih tetap merupakan satu kehilangan besar buat AC Milan walaupun kelab berjaya merekrut penjaga gol baharu," katanya yang telah merekrut penjaga gol Perancis, Mike Maignan dari juara liga Perancis, Lille.