ALOR GAJAH - Kerajaan negeri Melaka mengarahkan semua majikan membabitkan sektor perkilangan segera memindahkan pekerja asing ke asrama dan bangunan berasingan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, langkah itu penting untuk mengawal pekerja asing disahkan positif Covid-19 hingga mewujudkan beberapa kluster industri.
Menurutnya, keputusan itu dikuatkuasakan di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) bagi mengawal penularan Covid-19 membabitkan pekerja asing kepada penduduk setempat sehingga menimbulkan kebimbangan masyarakat.
Katanya, beberapa lokasi dikenal pasti untuk memindahkan pekerja terlibat seperti bangunan berdekatan Melaka Sentral yang boleh menempatkan seramai 1,400 orang selain bangunan Perbadanan Ketua Menteri (CMI) yang kosong.
"Ini kaedah terbaik, memandangkan kes meningkat dan putuskan untuk pindah mereka (pekeja asing) keluar dari kawasan perumahan.
"Contoh kalau di kawasan Perindustrian Ayer Keroh ada hampir 3,000 pekerja asing yang mana lebih 1,000 akan dipindahkan ke asrama iaitu kawasan dinyatakan sebelum ini," katanya.
Sulaiman berkata demikian ketika meninjau pelaksanaan program Outreach Vaksinasi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi di Kompleks JAPERUN Kuala Linggi, di Kuala Linggi di sini, pada Khamis.
Hadir sama, Exco Kesihatan dan Antidadah, Datuk Rahmad Mariman; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Linggi, Datuk Ismail Othman dan Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Melaka, Habibah Jaafar.
Mengulas lanjut Sulaiman berkata, majikan yang gagal mematuhi arahan ditetapkan kerajaan boleh dikenakan tindakan tegas di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) termasuk penutupan kilang jika ingkar.
"Majikan perlu sediakan asrama pekerja masing-masing dan saya harap mereka dapat berikan kerjasama di bawah Akta 342 untuk pindahkan mereka ke kawasan lain yang tidak bercampur masyarakat terutama kawasan perumahan.
"Mereka perlu pindah secepat mungkin dan Jawatankuasa Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) negeri akan terus memantau semua kilang yang beroperasi," katanya.