IPOH - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Padang Rengas menyifatkan tindakan Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz ke luar negara meninggalkan rakyat di kawasan beliau ketika pandemik Covid-19 sebagai tidak sensitif.
Naib Ketua PKR Cabang Padang Rengas, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, tindakan Mohamed Nazri meninggalkan negara ini untuk ke Paris, Perancis seperti yang tular di media sosial disifatkan tidak bertanggungjawab.
Menurutnya, ketika kes jangkitan harian dan kematian Covid-19 terus mencatatkan angka tinggi, amat wajar bagi seorang wakil rakyat menunjukkan sikap lebih merendah diri dengan menangguhkan sebarang aktiviti bukan perlu dan menumpukan perhatian terhadap kelompok masyarakat yang terkesan terutama di kawasan Parlimen diwakili.
"Dalam keadaan negara sedang berhadapan dengan krisis untuk melawan pandemik dengan pelbagai masalah berkaitan bantuan asas, pengangguran, kos sara hidup, capaian internet untuk pembelajaran dalam talian, masalah kekurangan peranti dan sebagainya, wakil rakyat ini telah memilih untuk meninggalkan rakyat yang sedang menderita terutamanya di kawasan Padang Rengas.
"Adalah sesuatu yang amat mendukacitakan dan hampa melihat gelagat wakil rakyat yang tidak sensitif dengan keadaan semasa tatkala rakyat sedang bergelut untuk meneruskan kehidupan seharian," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Menurutnya, krisis Covid-19 yang sedang dihadapi negara ketika ini menuntut pemimpin-pemimpin yang dipilih oleh rakyat untuk turun ke lapangan bagi melihat sendiri permasalahan dan derita yang dialami oleh rakyat sama ada di kawasan bandar mahu pun luar bandar.
Jelasnya, dalam keadaan negara berhadapan dengan krisis kepimpinan yang parah ketika ini, wakil-wakil rakyat tidak seharusnya menunjukkan sikap sombong dan angkuh.
Media sebelum ini melaporkan Mohamed Nazri berada di luar negara bagi mendaftarkan persekolahan anaknya.