69 Komando tingkat kemahiran tempur jarak dekat

Iklan
Abdul Razak berkata, tempur jarak dekat yang sedang diperkenalkan kepada anggota-anggotanya merupakan gabungan pelbagai seni mempertahankan diri.

IPOH - Pasukan Gerakan Khas (PGK) 69 Komando Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang meningkatkan kemahiran setiap anggotanya dalam tempur jarak dekat atau close range combat (CRC).

Komander 69 Komando, Senior Asisten Komisioner Abdul Razak Mohd Yusoff berkata, tempur jarak dekat yang sedang diperkenalkan kepada anggota-anggotanya merupakan gabungan pelbagai seni mempertahankan diri yang terdapat pada masa kini.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, pihaknya sebelum ini telah membuat kajian mengenai beberapa seni mempertahankan diri termasuk silat, seni bela diri campuran (MMA) dan banyak lagi.

Menurutnya, daripada kajian tersebut beberapa kombinasi seni mempertahankan diri digabungkan untuk menjadi satu dan diterapkan dalam tempur jarak dekat untuk 69 Komando.

Iklan

Mengulas lanjut, Abdul Razak berkata, langkah itu diambil memandangkan ancaman keselamatan juga sentiasa berubah-ubah dengan pelbagai teknik serangan.

"Sebab itu 69 Komando tidak boleh statik termasuk dalam seni mempertahankan diri dan perlu berwaspada kerana teknik ancaman serta serangan musuh terhadap anggota keselamatan juga pelbagai dan berubah dari masa ke semasa.

Iklan

"Kami buat kajian terhadap pelbagai seni mempertahankan diri termasuk MMA dan dari situ kami gabungkan untuk menjadi satu dan diterapkan kepada anggota-anggota 69 Komando,” katanya.

Abdul Razak berkata, pihaknya dalam proses melahirkan beberapa orang jurulatih dalam tempur jarak dekat menggunakan kemahiran terkini.

"Kalangan jurulatih ini sedang giat menjalani latihan intensif dan mereka akan melatih anggota-anggota 69 Komando keseluruhannya.

"Kami juga berhasrat mencadangkan kepada pengurusan Bukit Aman supaya teknik gabungan tempur jarak dekat oleh 69 Komando ini diperluaskan ke unit-unit lain dalam PDRM,” katanya.

Tambahnya, teknik tempur jarak dekat itu memerlukan kecepatan, tepat, kuat, menggunakan muslihat, selamat dan beberapa ciri lain lagi.

"Apabila dipraktiskan terhadap musuh, anggota-anggota kita perlu bertindak cepat dan menyerang dengan tepat serta menggunakan kekuatan sedia ada.

"Dalam bertempur juga perlu menggunakan muslihat sebab musuh akan menggunakan teknik sama. Namun apabila berhadapan dengan musuh, teknik diamalkan juga perlu menitikberatkan soal keselamatan diri,” katanya.