Korban Covid-19 di Argentina lepasi 100,000

Iklan
Angka rasmi kematian akibat Covid-19 Argentina melepasi 100,000 pada Rabu sekali gus memberi lebih banyak tekanan ketika negara sedang bergelut masalah ekonomi. -Foto EPA

LONDON - Angka rasmi kematian akibat Covid-19 Argentina melepasi 100,000 pada Rabu sekali gus memberi lebih banyak tekanan ketika negara sedang bergelut masalah ekonomi.

Kementerian Kesihatan mengumumkan 614 kematian dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah korban keseluruhan sejak pandemik bermula kepada 100,250, menurut Anadolu.

Iklan
Iklan

Kementerian turut mengumumkan 19,697 kes baharu Covid-19 dilaporkan di negara ini.

Presiden Alberto Fernandez dalam ucapannya minggu lalu menyifatkan setiap kematian akibat Covid-19 amat"memilukan" dan menekankan pentingnya kempen vaksinasi.

Iklan

"Saya jamin kita akan terus memberi vaksinasi kepada setiap rakyat Argentina dalam beberapa bulan ini," katanya.

Menurut Kementerian Kesihatan, setakat ini daripada kira-kira 45 juta penduduk, seramai 20,605,189 sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin, manakala 5,113,342 lagi lengkap kedua-dua dos.

Iklan

Sepanjang kempen vaksinasi, Argentina menggunakan vaksin Sputnik V Rusia, vaksin Sinopharm China dan vaksin AstraZeneca/Oxford Britain-Sweden.

Berikutan risiko penularan varian Covid-19 di seluruh negara, Argentina pada masa ini mengehadkan jumlah kemasukan warganegara dan penduduk ke negara ini.

Presiden Fernandez juga melaksanakan sekatan pergerakan lebih ketat pada 20 Mac tahun lepas.

Pandemik Covid-19 telah mempengaruhi ekonomi Argentina, yang dilanda kemelesetan sejak 2018. - Bernama