PARIS - Polis melepaskan gas pemedih mata untuk menyuraikan tunjuk perasaan pada Rabu apabila kira-kira 19,000 orang memprotes arahan baharu kerajaan Perancis bagi mengekang penularan Covid-19.
Para penunjuk perasaan itu memulakan protes mereka pada waktu pagi di Paris ketika perarakan ketenteraan berlangsung untuk meraikan Hari Bastille atau Hari Kebangsaan negara tersebut yang diadakan pada setiap tahun dan disaksikan oleh Presiden negara itu, Emmanuel Macron.
Tunjuk perasaan itu turut diadakan di beberapa bandar Perancis bagi membantah arahan baharu yang mengkehendaki semua pekerja kesihatan mendapatkan vaksinasi dan orang ramai dikehendaki membawa pas kesihatan vaksin di kebanyakan tempat awam.
Orang ramai yang masih belum menerima vaksin pula dikehendaki menunjukkan keputusan ujian negatif Covid-19 jika mereka mahu memasuki restoran.
Sejak pengumuman arahan baharu itu, sejumlah penduduk Perancis menempah janji temu untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.
Menurut AFP, di sebuah kawasan di Paris, polis melepaskan gas pemedih mata untuk menyuraikan para peserta bantahan tersebut.
Kira-kira 2,250 orang ditangkap di Paris manakala tunjuk perasaan menentang arahan baharu itu turut diadakan di bandar-bandar lain antaranya di Toulouse, Bordeaux, Montpelier dan Nantes.
Setakat ini kira-kira 35.5 juta daripada 67 juta penduduk Perancis telah menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin Covid-19. - Agensi