GOL kedua hasil jaringan penyerang Republik Czech, Patrik Schik pada minit ke-52 ketika berdepan Scotland di Hampden Park pada Euro 2020 lalu dipilih selaku gol terbaik kejohanan berkenaan.
Gol berkenaan menerima undian terbanyak iaitu daripada 10 gol yang telah disenarai pendek oleh Pasukan Penilai Teknikal Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA).
Difahamkan, hampir 800,000 orang awam mengambil bahagian pada sesi undian berkenaan dan kebanyakannya memilih gol yang dijaringkan, Schik sebagai gol terbaik Euro 2020.
Gol yang dijaringkan dari jarak hampir 49.7 ela itu turut diiktiraf selaku gol paling jauh pernah dihasilkan pada Kejohanan Eropah sejak ia mula direkodkan mulai 1980.
Difahamkan, gol berkenaan turut mengatasi gol yang pernah dijaringkan oleh pemain Jerman, Torsten Frings yang menjaringkan gol daripada jarak 38.6 ela ketika berdepan Belanda pada Euro 2004 lalu.
Jaringan berkenaan terhasil setelah percubaan pemain Scotland Jack Hendry, berjaya dikekang pertahanan Republik Czech dan bola muntah hasil kekangan berkenaan dimanfaatkan oleh Schik untuk terus melakukan percubaan ke pintu gol Scotland apabila mendapati penjaga gol, David Marshall berada agak jauh dari pintu gol.
Percubaan itu sama sekali berjaya menewaskan Marshall untuk gol kedua yang juga gol kemenangan Republik Czech pada perlawanan berkenaan.
Sebelum jaringan berkenaan, Schik turut menanduk masuk gol pembukaan perlawanan pada minit ke-42, pada perlawanan yang berlangsung pada 14 Jun itu yang menyaksikan Republik Czech menang 2-0.