ALOR SETAR - Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia (MOSTI) mensasarkan untuk memberikan suntikan vaksin sehingga 400,000 sehari kepada penduduk di negeri Selangor bagi mengekang penularan Covid-19.
Timbalan Menteri Sains Teknologi Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, negeri Selangor antara kawasan yang diberikan tumpuan oleh kerajaan dan setakat Rabu, sebanyak 114,000 suntikan vaksin diberikan dalam masa sehari.
Menurut beliau, kerajaan memperuntukkan kira-kira 4 juta dos vaksin untuk dihantar ke negeri Selangor dan memohon kerjasama pihak berkaitan untuk membantu perkara tersebut.
"Pada pagi Khamis, kita berbincang agar suntikan vaksin dapat dilakukan sehingga 400,000 sehari di Selangor.
"Kita mahu segerakan pemberian vaksin di Selangor kerana tidak mahu menjangkiti tempat lain. Vaksin yang diterima akan diberikan kepada negeri-negeri yang mempunyai kes tinggi seperti di Lembah Klang," katanya pada sidang akhbar selepas lawatan kerja ke Pusat Pemberian Vaksin Kota Setar di Stadium Sultan Abdul Halim pada Khamis.
Hadir sama, Exco Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Negeri Kedah, Datuk Dr Mohd Hayati Othman.
Mengulas lanjut, Ahmad Amzad berkata, kerajaan dijadualkan menerima hampir 16 juta dos vaksin sebelum hujung Julai ini sekaligus memastikan proses imuniti berkelompok di negara ini dapat dilakukan mengikut jadual.
Menurut beliau, Pharmaniaga telah memberikan komitmen untuk menghantar 12 juta dos vaksin Sinovac pada Julai termasuk sumbangan satu juta dos Pfizer dari Amerika Syarikat.
"Jepun juga menyumbangkan satu juta vaksin AstraZeneca dan kita juga sedang menunggu penerimaan sumbangan 500,000 vaksin dari China," katanya.
Jelasnya, proses vaksinasi di negara ini dilihat berada di hadapan dalam menyumbang dan membantu Proses Pemulihan Negara (PPN.
"Jumlah rakyat yang lengkap dua dos vaksin telah mencapai 11 peratus di seluruh negara," katanya.
Sementara itu, beliau berkata, semua vaksin yang dipilih di negara ini adalah yang paling terbaik untuk rakyat Malaysia.
"Tidak perlu rakyat memilih untuk menerima vaksin-vaksin ini kerana semuanya sudah terbukti berkesan di seluruh dunia.
"Setakat ini, prestasi mereka yang lengkap menerima dos vaksin menunjukkan jangkitan yang sangat rendah dan lebih 90 peratus dapat menghindar daripada menghadapi gejala teruk," katanya.