Undi awal: Aiman 'hilang' lagi?

Iklan

SEMENYIH - Ketiadaan calon PH, Muhammad Aiman Zainali di Dewan Serbaguna Batallion 4, Pasukan Gerakan Am (PGA) di sini, hari ini, ternyata menimbulkan tanda tanya setelah ketiga-tiga calon lain telah tiba di sini.

Ketiga-tiga calon iaitu Zakaria Hanafi (BN), Nik Aziz Afiq Abdul (PSM) dan calon Bebas Kuan Chee Heng atau lebih dikenali sebagai"Uncle Kentang” masing-masing hadir dalam sekitar jam 9-10 pagi tadi, namun tanpa kelibat Aiman tidak kelihatan.

Iklan
Iklan

Isu 'kehilangan' Aiman daripada radar pengamal media, sering mendapat perhatian, terdahulu semalam hampir seharian Aiman hilang.

Menjawab kepada kehilangannya itu Muhammad Aiman semalam menjelaskan, beliau tidak 'hilang' dan tetap melakukan aktiviti lawatan kerja serta berkempen seperti biasa.

Iklan

Jelasnya, mungkin wujud salah faham dan kesilapan teknikal sehingga jadual aktivitinya hari ini tidak diuar-uarkan kepada media.

"Saya ada. Pagi-pagi saya solat Subuh di Bandar Sri Putra dan saya berjalan-jalan di Bandar Sri Putra. Kemudian, saya pergi ziarah kematian dan ke Penjara Kajang.

Iklan

"Itu mungkin ada masalah teknikal sikit dekat situ. Mungkin info itu tak sampai. Saya tetap berkempen macam biasa,” katanya.

Hari ini dua pusat mengundi awal mula dibuka pada jam 8 pagi tadi bagi membolehkan 858 daripada keseluruhan 951 pengundi awal menunaikan hak mereka.

Sejumlah 761 daripada mereka layak mengundi di pusat mengundi Dewan Serbaguna Kem Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih manakala 97 lagi layak berbuat demikian di Dicress Room, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang.

Sebahagian lagi iaitu 93 pengundi awal terdiri daripada anggota polis, sudah mengundi secara pos, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),

Pusat mengundi awal di Dewan Serbaguna Kem Batalion 4 PGA Semenyih dibuka dari jam 8 pagi hingga 5 petang manakala pusat mengundi di Dicress Room, IPD Kajang dibuka dari 8 pagi hingga 2 petang.

PRK DUN Semenyih menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH), Muhammad Aiman Zainali, Zakaria Hanafi (Barisan Nasional), Nik Aziz Afiq Abdul (Parti Sosialis Malaysia) dan calon Bebas, Kuan Chee Heng.

Kerusi Semenyih kosong susulan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor, 57, pada 11 Januari lalu akibat serangan jantung.

Pada hari pengundian 2 Mac (Sabtu ini), peti undi awal itu akan dibawa ke pusat pengiraan undi berkelompok yang ditetapkan SPR untuk pengiraan.

DUN Semenyih mempunyai 54,503 pemilih berdaftar merangkumi 53,520 pengundi biasa, 951 pengundi awal dan 32 pengundi tidak hadir luar negara.