Pekerja projek Petronas maut nahas empat kenderaan

Iklan
Keadaan kereta Proton Wira yang dipandu mangsa. - Foto ihsan IPD Dungun

DUNGUN - Seorang pekerja projek Petronas di Kemaman maut dalam kemalangan membabitkan empat buah kenderaan di Kilometer 90, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran Logi Air Hitam di sini pada Khamis.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.15 pagi itu, mangsa, Muhammad Firdaus Ali dari Dungun yang memandu kereta jenis Proton Wira bersendirian disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, nahas yang mengorbankan mangsa berusia 22 tahun itu turut melibatkan kereta jenis Proton Persona, sebuah motosikal jenis SM Sport dan sebuah lori jenis Hino.

Katanya, siasatan awal mendapati, punca kemalangan berlaku apabila mangsa yang memandu dari arah Kuala Terengganu menghala ke Kuantan cuba memotong kenderaan di hadapannya sebelum bertembung sebuah lori yang datang dari arah bertentangan.

Iklan

"Akibat pertembungan ini, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada kepala.

"Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Dungun di sini untuk proses bedah siasat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Iklan

Menurutnya, dalam masa sama, motosikal dan kereta Proton Persona yang berada di bahagian belakang lori berkenaan gagal mengelak lalu melanggar lori tersebut.

Bagaimanapun, katanya, pemandu lori bersama kelindannya serta seorang wanita berusia 40 tahun yang menunggang motosikal hanya mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke hospital sama untuk mendapatkan rawatan susulan.

"Pemandu Proton Persona yang merupakan lelaki berusia 30 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Jelas Baharudin, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.