Waktu tol percuma perlu dilanjutkan

Iklan

TEMPOH bagi kadar tol secara percuma pada waktu ‘off-peak’ yang dicadangkan kerajaan sepatutnya dilanjutkan sehingga jam 7 pagi.

Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai berkata, cadangan yang dikemukakan oleh kerajaan adalah baik kerana ini mampu meringankan beban pengguna empat lebuhraya seperti yang dicadangkan.

Iklan
Iklan

"Bagaimanapun, tempoh waktu ‘off-peak’ secara percuma daripada jam 11 malam hingga jam 5 pagi itu adalah lebih baik dilanjutkan sehingga jam 7 pagi memandangkan tidak ramai pengguna menggunakan lebuhraya pada jam 5 pagi,” kata Tan seperti yang dilaporkan dalam China Press.

Sabtu lalu, kerajaan mengumumkan telah memulakan proses rundingan dengan Gamuda Bhd untuk menghapuskan mekanisma kutipan tol sedia ada.

Iklan

Lebuh raya bertol berkenaan adalah Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan Terowong SMART.

Sebagai ganti, ‘congestion charge’ (caj kesesakan) akan diperkenalkan di mana pengguna lebuh raya akan hanya dikenakan bayaran caj kesesakan yang sama dengan kadar tol sedia ada untuk waktu puncak selama enam jam sehari.

Iklan

Kadar tol dihapuskan sama sekali pada waktu"off-peak” antara jam 11 malam sehingga 5 pagi di mana penggunaan lebuh raya adalah percuma. Manakala pengguna juga akan menikmati diskaun 30 peratus berbanding kadar tol sedia ada bagi penggunaan waktu biasa.

Dalam pada itu, Presiden Gerakan, Datuk Dominic Lau Hoe Chai berharap agar kerajaan tidak mengenakan sebarang bayaran tol terhadap pengguna lebuhraya ketika waktu puncak.

"Namun kita lihat apa yang dicadangkan kerajaan adalah sebaliknya di mana tiada bayaran tol dari jam 11 malam hingga 5 pagi.

"Kerajaan PH sebelum ini berjanji mahu menghapuskan tol bagi mengurangkan beban rakyat. Tetapi hari ini kita dapati tol percuma hanya dibuat pada waktu pengguna yang tidak menggunakan lebuhraya, ia sebenarnya memberikan manfaat kepada siapa,” kata Dominic.

Kata beliau, keputusan dibuat kerajaan ini adalah satu kesilapan yang besar kerana ia tidak mengutamakan kepentingan rakyat.

Selisih faham dalam PH perkara biasa

Perselisihan faham yang berlaku antara empat parti dalam komponen PH adalah perkara biasa dan bukan masalah yang serius.

Menurut Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong, keempat-empat parti, iaitu PKR, DAP, Amanah dan Bersatu mempunyai kedudukan yang sama dalam PH dengan mengimbangi antara satu dengan lain.

"Jika dibandingkan dengan BN dengan UMNO sebagai parti yang menjadi tonggak dalam pakatan itu, kedudukan empat parti dalam PH yang memiliki kekuatan seimbang dilihat lebih mampu menarik sokongan daripada rakyat,” katanya seperti dipetik dalam Oriental Daily.

Kata Liew yang juga Pengerusi DAP Johor, kerajaan PH adalah lembaran baharu dalam politik negara yang akan memimpin rakyat mengharungi cabaran masa depan.

"Kedudukan ekonomi negara kita telah terhenti sejak 20 tahun lalu. Kita dapat lihat kira-kira sejuta rakyat negara kita terpaksa mencari kerja di Singapura. Ada yang cari kerja di Australia, Korea dan Kamboja. Malaysia kini perlu bergerak memulakan langkah yang baharu,” katanya.

RUU mansuh hukuman mati tidak akan dibentang

Rang undang-undang berkaitan pemansuhan hukuman mati mandatori dijangka tidak akan dibentangkan pada sesi persidangan Dewan Rakyat Mac depan.

Ini dinyatakan oleh Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon kepada Nanyang Siang Pau.

Beliau berkata, rang undang-undang tersebut tidak akan dibentangkan buat sementara waktu disebabkan ada rang undang-undang yang lebih penting untuk dibahaskan terlebih dulu.

Sesi Dewan Rakyat kali ini dijangka bermula pada 11 Mac dan berakhir pada 11 April 2019.

Memansuhkan hukuman mati mandatori adalah salah satu isu yang disenaraikan dalam manifesto PH semasa PRU14.

Menurut akhbar ini, pelbagai pihak telah menyuarakan pandangan masing-masing mengenai keputusan kerajaan ini, termasuk daripada pihak pesalah, ahli keluarga pesalah serta badan-badan bukan kerajaan.

Sehingga kini, kerajaan belum membuat keputusan muktamad sama ada memansuhkannya atau tidak.