SHAH ALAM - Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) mencadangkan agar Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memanggil lebih ramai kakitangan kesihatan yang sudah bersara untuk kembali berkhidmat.
Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, panggilan seperti jururawat, pegawai perubatan atau doktor yang bersara itu dapat memantapkan lagi jentera barisan hadapan menangani pandemik Covid-19.
"Mereka ini senior dan berpengalaman dalam urusan perubatan dan kesihatan dan ia dapat membantu meringankan beban petugas barisan hadapan yang ada sekarang.
"Sudah hampir dua tahun petugas barisan hadapan bertungkus lumus dan pelbagai cabaran mereka sudah tempuhi demi memastikan rantaian Covid-19 terputus," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Dalam pada itu, Gerakan turut mengagihkan makanan, minuman sihat, sayur-sayuran dan buah-buahan kepada 200 penduduk yang tinggal di Program Perumahan Rakyat (PPR) Taman Beringin.
Sebelum ini, pihaknya juga mengadakan Helping Hand Gelandangan 1.0 dan 2.0 di Bank Bangkok dan Chow Kit, Kuala Lumpur.
Jelas beliau, bantuan itu dapat meringankan beban serta dapat mengurangkan tekanan mereka.
"Tidak lupa juga, kami ingin mengucapkan penghargaan kepada penaja-penaja sumbangan hari ini (Khamis),” ujarnya.
Selain itu, katanya, Gerakan mengingatkan orang ramai yang beratur untuk mendapatkan vaksin agar sentiasa menjaga jarak masing-masing ketika berada di Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
"Saya bimbang, sekiranya mereka tidak ada berdisiplin, PPV berisiko untuk menjadi kluster Covid-19 yang baharu atau zon merah.
"Jadi demi kesejahteraan semua, Gerakan bersiap sedia untuk menyediakan lokasi secara percuma kepada kerajaan untuk dijadikan PPV,” jelasnya.