Pengurusan, operasi Tabung Haji akan ditambah baik

Iklan
Pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (TH) akan ditambah baik secara menyeluruh. Gambar hiasan.

SHAH ALAM – Pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (TH) akan ditambah baik secara menyeluruh.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan pada Khamis berkata, perkara itu selepas mendapat persetujuan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu.

Iklan
Iklan

"Ini melibatkan antara lainnya cadangan dasar model baharu operasi Lembaga TH dan semakan pindaan Akta Tabung Haji 1995.

"Cadangan model baharu operasi Lembaga TH tersebut akan diteliti secara bersama oleh Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kewangan Malaysia, Bank Negara Malaysia (BNM) dan Lembaga TH,” kata kenyataan itu.

Iklan

Menurut kenyataan itu, Jemaah Menteri turut bersetuju dengan penyenaraian Lembaga TH sebagai sebuah institusi kewangan Islam yang ditetapkan di bawah Seksyen 223 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 dan dikawal selia oleh BNM.

Sementara itu, Kementerian Kewangan berkata, skop Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) membabitkan Lembaga TH tidak akan merangkumi usaha penambahbaikan berterusan dan penstrukturan yang sedang dilaksanakan bagi memperkasakan tadbir urus institusi itu.

Iklan

"Aspek governans, integriti dan reputasi Lembaga TH sebagai institusi simpanan kewangan Islam adalah amat penting bagi memastikan agar kedudukan kewangan Lembaga TH lebih kukuh dan stabil untuk menjamin serta memelihara kepentingan para pendeposit dan jemaah haji Malaysia.

"Sebagaimana yang termaktub di dalam Akta Tabung Haji 1995, simpanan pendeposit kekal selamat dan dijamin oleh kerajaan,” katanya.

Kerajaan dilapor akan menubuhkan RCI di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119) bagi menyiasat isu-isu berbangkit mengenai Lembaga TH.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penubuhan RCI itu hasil pengauditan perunding-perunding seperti PricewaterhouseCoopers (PwC), Ernst & Young (EY) dan Roland Berger dari tahun 2014 hingga 2020.