MENTERI Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mencabar skuad terjun negara untuk memperbaiki prestasi pada temasya Sukan Olimpik Tokyo yang dijadual berlangsung 23 Julai hingga 8 Ogos ini.
Beliau yang secara peribadi berpuas hati dengan persiapan kem terjun negara ke Jepun, berharap agar mereka mampu mencipta sejarah tersendiri seterusnya kepada negara di temasya sukan terbesar dunia itu.
"Tanda aras yang diletakkan sebelum ini perlu dipecahkan dan mereka mesti melakukan lebih baik daripada apa yang telah dicapai sebelum ini.
"Mudah-mudahan dengan semangat juang tinggi akhirnya mereka dapat lakukan apa yang diidamkan iaitu melakar sejarah mereka sendiri dan mana tahu untuk negara juga,” katanya dalam satu audio dikongsi kepada media pada Khamis.
Skuad terjun meraih satu pingat pada dua edisi terakhir Olimpik iaitu di London 2012 dan Rio 2016.
Pandelela Rinong muncul atlet terjun pertama negara meraih pingat di pentas Olimpik apabila memenangi gangsa dalam acara 10 meter (m) platform individu wanita pada edisi London 2012.
Pandelela terus menambah koleksi pingat Olimpik apabila meraih perak pada temasya Rio 2016 kali ini bersama gandingannya, Cheong Jun Hoong dalam acara 10m platform seirama wanita.
Reezal Merican sebelum itu meninjau persiapan akhir atlet terjun di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil di sini pada Khamis.
Turut hadir Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Olimpik Datuk Lee Chong Wei, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN) Ahmad Faedzal Md Ramli.
Sementara itu, Reezal Merican berkata, selain berbasikal dan badminton, sukan terjun sememangnya menjadi sandaran pingat buat kontinjen negara pada Sukan Olimpik Tokyo kali ini.
Beliau turut menjemput rakyat Malaysia untuk menyertai sesi bacaan Yassin dan doa munajat sempena Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo #DemiMalaysia secara maya di laman Facebook MSN bermula 9 pagi Jumaat.
Selain Pandelela dan Jun Hoong, barisan atlet terjun lain yang membawa saingan negara ke Olimpik Tokyo adalah Leong Mun Yee, Wendy Ng Yan Yee dan Nur Dhabitah Sabri. - Bernama