Terima kasih KHM

Iklan
Faizal (kanan) antara tonggak skuad Malaysian Tigers ketika ini.

BARISAN pemain skuad hoki lelaki dan wanita kebangsaan berterima kasih kepada Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) yang menyalurkan sumbangan wang tunai RM1,000 setiap seorang.

Penyerang sensasi skuad Malaysian Tigers, Faizal Saari berkata, sumbangan itu secara tidak langsung dapat meringankan beban setiap pemain ketika negara masih dilanda krisis pandemik Covid-19.

Iklan
Iklan

"Bagi saya, ini satu berita yang menggembirakan apabila KHM memberi sumbangan RM1,000 kepada setiap pemain. Lagipun, kita akan menyambut Hari Raya Aidiladha tidak lama lagi.

"Jadi sedikit sebanyak sumbangan yang diberikan KHM ini dapat membantu kami. Sudah tentu sumbangan ini juga dapat meringankan beban kami dalam situasi negara masih dilanda Covid-19.

Iklan

"Dalam situasi sekarang, ramai pihak yang terkesan. Jadi terima kasih saya ucapkan kepada pihak persatuan (KHM) atas bantuan sumbangan ini,” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.

Seorang lagi penyerang Malaysian Tigers, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil turut mengakui gembira dengan sumbangan berkenaan yang disifatkan 'hadir tepat pada masanya'.

Iklan

"Pertamanya, saya ingin berterima kasih kepada Presiden KHM (Datuk Seri Subahan Kamal. Sumbangan ini seolah-olah satu suntikan semangat kepada setiap pemain di sebalik pandemik ini.

"Apa-apa pun, saya berharap kita akan kembali menjalani kehidupan normal seperti sebelum ini. Betul wang itu penting tetapi kehidupan normal itu juga harus menjadi keutamaan kita,” ujarnya.

Penyerang skuad hoki wanita kebangsaan, Hanis Nadiah Onn pula nyata lega dengan wang sumbangan RM1,000 itu sambil menganggap 'duit raya' menjelang sambutan Aidiladha minggu depan.

"Sumbangan ini memang membantu, kalau nak kerja pun tak ada orang nak ambil buat masa ini. Semua orang kena duduk rumah, kami pun hanya berlatih di rumah.

"Duit sumbangan ini pun boleh kira macam ‘duit raya’ bagi kami memandangkan Hari Raya Aidiladha dah dekat. Jadi bolehlah kami belanja apa yang patut,” ujarnya.

Pada Rabu, Subahan mengumumkan sumbangan berkenaan dalam sesi perjumpaan secara maya bersama skuad hoki lelaki dan wanita kebangsaan bagi membantu mereka mengharungi cabaran pandemik Covid-19.