SHAH ALAM - Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) mewujudkan talian psikososial untuk membantu isu kesihatan mental yang berlaku kepada rakyat dalam negara.
Setiausaha Agung MRA, Dr Shahrizal Azwan Samsudin berkata, talian itu akan membantu masyarakat untuk mengawal stres dengan kendalian 40 kaunselor yang bertauliah.
"Isu tekanan kesihatan mental boleh membawa kepada berlakunya kemurungan yang akhirnya mengganggu fungsi kehidupan.
"Rakyat perlu belajar bagaimana untuk mengawal stres seperti bertenang dengan bersifat positif setiap masa, beribadah, bernafas dengan cara yang betul, bercakap dengan seseorang dan beriadah,” katanya ketika Wacana Sinar Harian Edisi ke 274 yang bertajuk PKPD: Tutup Depan Buka Belakang pada Khamis.
Turut hadir, Exco Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud, Penyelidik Kanan DM Analytis, Zouhair Rosli dan Ketua Kluster Kesihatan dan Perubatan Akademi Profesor Malaysia, Profesor Dr Adlina Suleiman.
Dalam pada itu, Shahrizal Azwan berkata, NGO turut mengalami pelbagai cabaran untuk menyampaikan bantuan dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan oleh kerajaan.
Jelasnya, pihaknya kecewa apabila proses pemberian bantuan tidak dipermudahkan disebabkan prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan.
"Risiko ketika memberi sumbangan juga boleh berlaku kepada pemberi dan penerima boleh dijangkiti oleh wabak Covid-19.
"Apabila sudah melalui tiga fasa PKP, sumbangan sudah semakin berkurangan dan berlaku bagi semua NGO. Jadi apabila sumbangan itu berkurang kita tahu derma tidak seaktif dahulu,” ujarnya.
Sehubungan itu, Shahrizal berkata, pihaknya berharap supaya ahli-ahli korporat untuk terus membantu dan bekerjasama dengan mana-mana NGO untuk membantu masyarakat yang memerlukan dalam menghadapi pandemik Covid-19.