KUANTAN - Seorang pemandu lori mendakwa mengalami kerugian RM6,800 disyaki telah ditipu dalam urusan pembelian kambing yang diiklankan melalui laman sosial Facebook pada Selasa lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa yang berusia 30 tahun dari Temerloh itu tertarik dengan iklan tersebut dan menghubungi penjual melalui nombor telefon yang tertera untuk membeli tiga ekor kambing yang ditawarkan pada harga RM2,800.
Menurutnya, mangsa telah membuat bayaran pendahuluan RM1,400 ketika diminta untuk berbuat demikian sebagai tanda persetujuan membeli kambing terbabit melalui pindahan wang ke akaun bank atas nama sebuah syarikat pada hari yang sama.
"Pada hari berikutnya, mangsa meminta bantuan adiknya melunaskan baki bayaran RM1,400 juga melalui akaun bank yang sama.
"Selepas bayaran dibuat, mangsa terus diminta membuat bayaran tambahan untuk kos proses berjumlah RM4,000 dan dia akur dengan membuat bayaran seperti diminta ke akaun bank atas nama seorang lelaki," katanya melalui satu kenyataan pada Jumaat.
Mohd Wazir berkata, mangsa curiga apabila terlalu banyak proses dalam urusan pembelian tersebut malah jumlah bayaran proses yang dibuat jauh melebihi harga kambing yang dibeli.
"Syak telah ditipu, mangsa tampil membuat laporan polis di Balai Polis Temerloh pada Khamis.
"Polis tidak menolak kemungkinan kambing yang diiklankan itu tidak wujud sebaliknya hanya taktik untuk penipu dan memerangkap mangsa. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.