KOTA TINGGI - Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun terpaksa menahan kesakitan kira-kira 10 minit disebabkan kakinya tersepit di besi penutup parit di Jalan Limbing, Kampung Batu 4, di sini pada Khamis.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi, Pegawai Bomba Kanan II, Abdullah Mohamad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.03 petang.
Katanya, sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dengan kekuatan 12 anggota dikejarkan ke tempat kejadian.
"Setibanya di lokasi kejadian didapati kaki seorang kanak- kanak lelaki tersangkut pada penutup longkang ketika mangsa bermain di halaman rumahnya.
"Ibu mangsa cuba mengeluarkan kaki mangsa namun gagal dan terus menghubungi pihak bomba," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.
Menurut Abdullah, anggota bomba mengambil masa dua minit bagi mengeluarkan kaki mangsa yang tersangkut.
"Walaupun menahan kesakitan, kanak-kanak itu tidak meronta dan mengikut arahan diberikan.
"Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan. Operasi ditamatkan pada jam 5.20 petang," katanya.