PEMANDU McLaren, Lando Norris mengakui dia tetap melakukan persiapan menjelang Grand Prix (GP) British di Litar Silverstone hujung minggu ini biarpun sukar melelapkan mata akibat bersengkang mata menyaksikan saingan Euro 2020 sejak beberapa minggu lalu.
Malah menurut pemandu kelahiran United Kingdom itu, dia juga bersengkang mata bagi menyaksikan aksi final antara England dan Itali yang disiarkan secara langsung dari Wembley, yang menyaksikan England tewas 2-3 menerusi penentuan sepakan penalti.
Bagaimanapun, dalam masa sama pelumba berusia 21 tahun itu turut berharap dapat melakukan yang terbaik pada Litar Silverstone sempena Grand Prix (GP) British hujung minggu ini.
"Saya akui tidak cukup tidur kerana menyaksikan Euro 2020 terutamanya final antara England dan Itali dan saya takkan berbohong bahawa saya kini tidak berada dalam keadaan yang baik.
"Sudah tentu akibat tidak cukup tidur ini turut memberikan kesan daripada segi kesihatan mental dan ia (kesihatan mental) sangat penting bagi mana-mana perlumbaan.
"Apa pun, saya tidak mahu mengulas lebih terperinci mengenai perkara ini kerana saya sudah pun berada di sini untuk berlumba hujung minggu ini,” katanya.
Untuk rekod, pelumba muda berkenaan telah pun menamatkan tiga perlumbaan pada kedudukan podium musim ini dimulai dengan GP Itali di Litar Autodromo Enzo e Dino Ferrari pada 18 April, GP Monaco (23 Mei) dan terbaru, pada GP Austria di Litar Red Bull 4 Julai lalu.
Norris menamatkan ketiga-tiga perlumbaan berkenaan pada kedudukan ketiga dan sekali gus menyaksikannya kini berada pada ranking keempat dengan meraih 101 mata setakat ini.
Sementara itu, Norris akan cuba mendapatkan rehat secukupnya bagi memastikan kecergasan dirinya menjelang perlumbaaan Ahad ini.
"Saya akan cuba berehat untuk mengembalikan kecergasan saya. Bagaimanapun, rasanya saya akan kembali cergas seperti sediakala mulai esok (Sabtu),” katanya.