KOTA BHARU - Walaupun usianya sudah menginjak 120 tahun, seorang warga emas di sini tidak pernah menganggap umurnya sebagai penghalang untuk dia terus menabur bakti kepada masyarakat.
Siti Liah Mamat atau lebih mesra dengan panggilan nenek sentiasa optimis dengan melakukan aktiviti kebajikan itu dan mengatakan badannya akan terus 'segar' serta hati juga berasa tenang.
Pernah menjadi usahawan pelbagai barangan jualan runcit di Melor sebelum ini, Siti Liah menganggap rezeki adalah sesuatu yang perlu dikongsi tambahan pula ia merupakan saham tertinggi di akhirat nanti.
"Saya rasa lega dan 'segar' bila boleh bagi sedekah pada orang susah. Berasa senang hati, puas. Memang saya suka bantu orang sejak dari muda dulu. Walaupun sekarang sudah berumur, tapi saya minta tolong anak cucu bantu bagi sumbangan.
"Tambahan pula ramai orang susah dalam tempoh pandemik Covid-19 ini. Maka apa yang ada, saya mahu berkongsi. Sedikit sebanyak ia membantu meringankan beban mereka," katanya kepada pemberita pada Jumaat.
Beliau menerima kunjungan pengerusi serta pengasas Kelab Kebajikan Asnaf Kelantan (KKAK), Meor Shamshir Meor Zulkefli Auni untuk memberikan sumbangan pek makanan di kediamannya, di sini.
Hadir sama, Presiden Kelab Media Kelantan Darulnaim (KEMUDI), Shahnon Hanif Abdullah Suhaimi.
Sementara itu, Meor Shamshir ketika ditemui memberitahu, pihaknya sangat teruja dengan kesudian Siti Liah untuk memberikan sumbangan pek makanan berkenaan.
"Saya bagaikan tidak percaya nenek sudi membantu KKAK dalam menyediakan sumbangan kepada asnaf yang berdaftar.
"Saya teruja dan saya harap apa yang dilakukan nenek akan menjadi ikutan semua pihak supaya kita dapat membantu mereka yang memerlukan. Semoga pahala amalan mulia ini akan terus mengalir sehingga akhirat nanti," katanya.