CELCOM Axiata Berhad (Celcom) dan Huawei Technologies Malaysia Sdn Bhd (Huawei) menggunakan rangkaian Smart 8T8R FDD komersial berskala besar pertama dunia untuk menangani pertumbuhan pesat trafik data dan kesesakan rangkaian di bandar-bandar utama.
Ini akan memastikan rangkaian 4G Celcom menyediakan pengalaman yang mudah dan lancar kepada para pelanggan dalam tempoh peralihan kepada 5G apabila ia dilancarkan kelak.
Dalam satu kenyataan, Celcom memaklumkan, inisiatif rangkaian Smart 8T8R merupakan sebahagian daripada pelaburan rangkaian dipacu Celcom bernilai lebih RM250 juta yang membawa kepada pengurangan awal kesesakan trafik rangkaian dalam menjana perkhidmatan dan pengalaman rangkaian yang konsisten sejak Disember 2020.
"Penggunaan teknologi rangkaian Smart 8T8R Huawei meningkatkan kapasiti rangkaian 4T4R Celcom yang sedia ada sebanyak hampir 80 peratus, sekali gus mengurangkan kesesakan trafik rangkaian dan menghasilkan pengalaman pengguna yang bertambah baik terhadap rangkaian 4G paling meluas Celcom.
"Teknologi rangkaian Smart 8T8R FDD Huawei memaksimumkan potensi kedua-dua tapak sedia ada dan pelbagai sumber spektrum untuk menambah baik dengan ketara kapasiti mudah alih dan pengalaman pengguna,” jelas kenyataan itu.
Menurut Celcom, teknologi Smart 8T8R FDD menggabungkan antena yang ditentukan perisian (software-defined antennas, SDA) dan FDD (Frequency Division Duplex) RRU (Remote Radio Units) dwiband, selain algoritma inovatif Huawei untuk menyokong penaiktarafan atas permintaan (on-demand) seperti penyesuaian perisian, yang menghasilkan potensi perkakasan maksimum untuk memenuhi pertumbuhan data yang pesat dan permintaan kapasiti rangkaian 4G.
"Teknologi Smart 8T8R juga menampilkan perisian PowerBoosting yang menyokong pengurusan kuasa termaju untuk stesen utama bagi mencapai kelebihan liputan tambahan dan membawakan penjimatan OPEX dengan perbelanjaan yang lebih kecil ke atas tenaga,” katanya.
Sehingga kini, Celcom telah menggunakan beberapa tapak 8T8R di Kuala Lumpur, Selangor, Perak dan Pulau Pinang serta akan menaik taraf lebih banyak tapak 4G dengan teknologi 8T8R di seluruh negara.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi (Teknologi) Celcom, Afizulazha Abdullah berkata, Celcom kini mengurangkan lonjakan trafik data sebagai keutamaan paling tinggi dengan menggunakan teknologi Smart 8T8R dan mengurangkan kesesakan rangkaian untuk menghasilkan pengalaman rangkaian yang konsisten dan bertambah baik.
Beliau berkata, pelaburan rangkaian dipacu Celcom yang sedang dilaksanakan adalah sejajar dengan aspirasi Jalinan Digital Negara (Jendela) kerajaan untuk mencapai liputan 4G di seluruh negara.
"Kami juga akan terus bekerjasama dengan Huawei untuk terus menginovasikan dan melaksanakan penemuan cemerlang teknikal, sekali gus memastikan pengalaman rangkaian terbaik untuk semua rakyat Malaysia,” katanya.
Bagi Naib Presiden Huawei Malaysia, Zac Chow berkata, penyelesaian FDD Smart 8T8R adalah sejajar dengan trend industri bagi pembangunan multi-antena, dan Huawei menghargai peluang untuk bekerjasama dengan Celcom bagi mengurangkan kesesakan rangkaian dan menambah baik dengan ketara pengalaman pengguna.
"Ini merupakan penyelesaian inovatif yang akan membantu Celcom memaksimumkan kecekapan spektrumnya dan membolehkan pengalaman yang mudah dan lancar bagi para pelanggan sambil merintis laluan untuk 5G apabila masanya tiba kelak.
"Ini akan memperkukuh kemajuan digital, memperkasakan perniagaan, melindungi pelaburan, dan menetapkan satu standard baharu bagi pembinaan rangkaian jalur lebar mudah alih (mobile broadband, MBB),” katanya.
Beliau berkata, usaha itu menyokong kemajuan ekonomi digital Malaysia ketika Malaysia terus bergerak memasuki era digital dan ekonomi digitalnya terus berkembang.
.