KUALA LUMPUR - Central Airlines dari Shenzhen, China menjadi pesawat kargo ketiga yang memulakan operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada tahun ini berikutan permintaan yang kukuh terhadap kargo udara dalam tempoh pandemik.
Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) berkata, KLIA menerima kehadiran Central Airlines baru-baru ini iaitu pesawat kargonya yang ke-18 secara keseluruhan yang akan beroperasi tiga kali seminggu menggunakan pesawat Boeing 737F.
Dua lagi pesawat kargo udara yang memulakan operasi di KLIA pada 2021 adalah Kargo Xpress dan GetJet Airlines.
Central Airlines, yang turut dikenali sebagai ZhongzhouAirlines merupakan pesawat kargo China yang berpangkalan di Lapangan Terbang Antarabangsa Zhengzhou Xinzheng.
Ketua Pegawai Eksekutif MAHB, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh berkata, menarik penyertaan rakan pesawat baharu dan menyokong pertumbuhan mereka akan memperkukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai hab kargo serantau, terutamanya sebagai pusat pengedaran e-dagang serantau.
"Bagi separuh pertama tahun kewangan 2021, kami merekodkan kira-kira 468,400 tan jumlah operasi kargo di Malaysia, peningkatan 22 peratus daripada tempoh yang sama tahun lepas,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Mohd Shukrie berkata, pertumbuhan kargo yang memberangsangkan dapat dilihat di lapangan terbang lain terutamanya di Malaysia Timur.
"Lima lapangan terbang utama yang mencatatkan pertumbuhan tertinggi adalah Tawau, Sibu, Limbang, Kota Kinabalu dan Kuching. Pertumbuhan antara lebih 70 peratus hingga 700 peratus di lapangan terbang ini dipacu terutamanya oleh jumlah transaksi e-dagang yang lebih tinggi,” katanya.
Sementara itu, bagi Jun 2021, keseluruhan rangkaian lapangan terbang kumpulan itu mencatatkan peningkatan 26 peratus bulan ke bulan bagi jumlah muatan tan kargo kepada kira-kira 78,200 tan, yang mana lapangan terbang di Malaysia dan Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gocken Istanbul, Turki masing-masing merekodkan kenaikan 26 peratus (74,600 tan) dan 47 peratus (3,600 tan). - Bernama