IPOH - Dua saksi terlindung termasuk mangsa kes rogol pembantu rumah membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong selesai memberi keterangan secara tertutup di Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat.
Mangsa yang mula memberi keterangan pada petang Selasa lalu, selesai pada tengah hari Khamis sebelum saksi terlindung yang kedua mula memberi keterangan petang Khamis dan selesai pada pagi Jumaat dalam perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed.
Mahkamah kemudian menangguhkan perbicaraan dan menetapkan 16, 17, 18 Ogos dan 28 September depan untuk mendengar keterangan saksi-saksi lain.
Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Perak Azlina Rasdi, Timbalan Pendakwa Raya Liyana Zawani Mohd Radzi dan Mohd Fitri Sadarudin manakala pasukan pembelaan terdiri daripada Datuk Rajpal Singh, Salim Bashir dan Phang Yong Nur Sarah.
Kedua-dua saksi terlindung berkenaan memberi keterangan secara tertutup mengikut Akta Perlindungan Saksi 2009 yang hanya boleh dilihat hakim manakala pihak pendakwaan dan peguam hanya mendengar suara tanpa melihat mereka semasa memberi keterangan.
Mahkamah telah mendengar keterangan 16 orang saksi pada perbicaraan bermula pada 5 April lalu.
Paul Yong, 51, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merogol pembantu rumahnya warga Indonesia, di kediamannya di Meru Desa Park di sini antara jam 8.15 malam hingga 9.15 malam pada 7 Julai 2019.
Kes itu sebelum ini disebut di Mahkamah Sesyen, namun pada 15 Disember 2020, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan pembelaan supaya kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan.
Paul Yong didakwa atas pertuduhan itu di Mahkamah Sesyen di sini pada 23 Ogos 2019 ketika memegang jawatan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru Perak. - Bernama