Penduduk masih harap CAC di Sri Andalas dipindah

Iklan
Pesakit Covid-19 beratur untuk ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di Dewan Sukan Klang Taman Sri Andalas. Gambar kecil: Saijan Sikon

SHAH ALAM - Penduduk Taman Sri Andalas masih menaruh harapan agar pengoperasian Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di Dewan Sukan Klang berhampiran lokasi perumahan mereka dipindahkan.

Pengerusi Surau An Naim Taman Sri Andalas, Saijan Sikon berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu membuat keputusan muktamad sama ada CAC berkenaan akan dipindahkan atau sebaliknya.

Iklan
Iklan

Saijan berkata, keputusan dibuat KKM dilihat masih 'tergantung' berbanding keputusan wakil rakyat yang memaklumkan bahawa CAC berkenaan akan dipindahkan dalam tempoh terdekat.

Menurutnya, walaupun kehadiran pesakit mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan namun penduduk masih berharap KKM dapat membuat keputusan yang akan memihak kepada penduduk di kawasan terbabit.

Iklan

"Sekarang ini dari segi pergerakan (pesakit dan petugas) di tempat CAC ini nampak semuanya bergerak dengan baik, mengikut SOP, cuma sekarang kita tunggu keputusan muktamad.

"Keputusan KKM masih 'tergantung', tapi Yang Berhormat (wakil rakyat kawasan itu) sudah memberi penjelasan bahawa dalam tempoh terdekat, sebaik mungkin (CAC) akan dipindahkan.

Iklan

"Jadi ini dua keadaan yang berbeza. Namun besar harapan kami sebagai penduduk di sini agar KKM dapat memutuskan segera," katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi pada Jumaat.

Pada Selasa, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, keputusan untuk memindahkan CAC itu akan diketahui dalam tempoh dua minggu lagi.

Beliau berkata, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Klang sedang mempertimbangkan beberapa perkara sebelum membuat sebarang keputusan berdasarkan mesyuarat yang diadakan di PKD Klang pada Isnin.

Bagaimanapun, PKD Klang dalam satu kenyataan pada Khamis berkata, penduduk setempat tidak perlu risau mengenai risiko jangkitan Covid-19 berikutan pesakit positif yang berkumpul di dewan itu kerana jarak antaranya dengan rumah cukup jauh.

Kata kenyataan itu, risiko jangkitan secara aerosol kepada penduduk Taman Sri Andalas adalah sangat rendah kerana jarak antara dewan ke rumah terdekat adalah melebihi dua meter.

PKD Klang turut menjelaskan pemilihan Dewan Sukan Klang Taman Sri Andalas sebagai CAC adalah kerana lokasi fasiliti berkenaan berhampiran hospital iaitu dalam jarak satu kilometer dan memudahkan ambulans menghantar kes Covid-19 kategori empat serta lima ke fasiliti itu untuk rawatan lanjut.

ARTIKEL BERKAITAN: Risiko jangkitan Covid-19 kepada penduduk Sri Andalas sangat rendah