KOTA KINABALU - Bekas Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Yahya Hussin dilantik sebagai Yang Dipertua (YDP) Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) yang baharu bagi menggantikan Datuk Seri Dr Hasbullah Mohd Taha.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menyerahkan watikah pelantikan itu di pejabatnya di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), pada Jumaat.
Iklan
Iklan
Yahya yang berusia 71 tahun juga adalah bekas Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah serta mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Petagas.
Selain itu, veteren politik terbabit pernah memegang jawatan sebagai Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Sabah namun dilihat mulai tidak aktif selepas tewas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandinginya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Sementara itu, dalam majlis sama, pendakwah bebas dan yang juga bekas pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Ustaz Malai Ali Malai Ahmad, 57, turut dilantik sebagai Timbalan YDP MUIS bagi menggantikan Datuk Matussin Awang Damit.
Hajiji turut menyerahkan watikah pelantikan Timbalan Pengerusi Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah yang baharu kepada Ustaz Ag Syairin Ag Bakar, 60, yang juga bekas pegawai kanan MUIS dan JHEAINS.
Turut hadir ialah Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif; Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Safar Untong dan Setiausaha Tugas-Tugas Khas, Sapdin Ibrahim.