SYDNEY- Negeri yang paling padat penduduk di Australia kini bergelut dengan pertambahan kes jangkitan Covid-19 meskipun sekatan pegerakan dikuat kuasa.
Sydney yang memasuki minggu keempat sekatan pergerakan, menyaksikan New South Wales (NSW) merekodkan 97 kes jangkitan tempatan dalam tempoh 24 jam pada Khamis.
Jumlah tersebut menjadikan kes terkumpul mencecah 1,026, lapor Xinhua.
Ketua Menterinya Gladys Berejiklian menyatakan kebimbangan terhadap 29 kes yang dikesan dalam komuniti dan mengingatkan penduduk kemungkintan kes akan terus meningkat pada hujung minggu.
"Saya menjangkakan kes akan terus meningkat kerana dalam tempoh 24 jam lalu, sekurang-kurangnya 29 dari 97 kes membabitkan penularan tempatan. Pastinya jumlah kes akan meningkat dan ia bukanlah sesuatu yang kita mahukan," katanya.
Berejiklian berkata, pihak berkuasa tidak akan teragak-agak untuk"mengenakan langkah pencegahan lebih ketat” jika sekatan sedia ada gagal membendung peningkatan kes.
Sementara itu, negeri Victoria pada Jumaat merekodkan 10 kes baharu membabitkan penularan tempatan pada hari pertama sekatan pergerakan di bandar raya Melbourne.
"Anda hanya ada satu peluang untuk bertindak lebih tegas dan cepat. Jika masih menanti dan teragak-agak, anda akan ketinggalan, kita perlu mara ke depan dengan lebih pantas," kata Ketua Menteri Victoria, Daniel Andrews.
Melbourne bakal berdepan sekatan pergerakan lebih ketat berbanding Sydney.
Victoria pada Jumaat mengumumkan bantuan kewangan sebanyak A$200 juta (kira-kira AS$150 juta) yang diluluskan kerajaan pusat untuk membantu perniagaan terjejas akibat sekatan itu.
Queensland di utara NSW dan Victoria pada Jumaat mengisytiharkan Victoria sebagai kawasan penularan wabak Covid-19 dan menutup sempadan.
Pihak berkuasa Queensland turut mengesan dua kes varian Delta di tenggara negeri ini serta memberi amaran terhadap penduduk untuk mengambil 'langkah berjaga-jaga'.
Pemerintah pada Khamis telah melanjutkan tempoh sekatan termasuk pemakaian pelitup muka di tenggara Queensland selama seminggu lagi. - Bernama