KLANG - Berang lamaran kahwin ditolak, seorang lelaki bertindak memecahkan cermin tingkap bilik rumah teman wanitanya di Taman Indah di sini pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, lelaki tersebut ditahan bersama dua lagi suspek di sebuah flat di Pandamaran di sini pada jam 11 pagi Khamis.
"Kejadian berlaku akibat rasa tidak puas hati salah seorang suspek terhadap teman wanitanya kerana tidak mahu berkahwin dengannya.
"Suspek berusia 23 tahun itu telah bercinta kira-kira tujuh tahun dengan teman wanitanya yang berusia 20 tahun," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.
Shamsul Amar berkata, dalam kejadian pada jam 3.20 petang itu, pengadu berusia 40 tahun ketika berada di tempat kerja telah menerima panggilan daripada anak sulungnya memberitahu tingkap bilik rumah telah pecah.
"Anak pengadu mendakwa melihat sebuah motosikal jenis Yamaha 135LC warna kuning dinaiki dua lelaki melalui lorong belakang rumah dan membaling batu ke arah tingkap rumah sehingga pecah," katanya.
Beliau berkata, pengadu kemudian membuat semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di rumah jirannya dan melihat sebuah motosikal berkenaan melalui lorong belakang rumahnya.
"Kita menahan tiga lelaki berusia dalam lingkungan 17 hingga 28 tahun di dua lokasi berasingan. Kita turut merampas sebuah motosikal jenis Yamaha LC135 warna kuning.
"Kesemua individu itu mengaku terlibat dalam kes yang disiasat," katanya.
Tambah Shamsul Amar, kesemua individu berkenaan direman dua hari bermula Jumaat.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan," katanya.