Lebih banyak bank, institusi kewangan terlibat teknologi blockchain

Iklan
Teknologi blockchain kian penting dan berkembang pesat melangkaui pasaran mata wang kripto. (Gambar hiasan) - Foto 123RF

KUALA LUMPUR - Lebih banyak bank dan institusi kewangan kini berminat meneroka teknologi blockchain dalam urusan pembayaran dan pemindahan rentas sempadan mereka, kata ahli panel di webinar 'Peluang dan Halangan Kripto' Maybank Kim Eng pada Jumaat.

Maybank Kim Eng Research dalam satu kenyataan berkata, pengawal selia ASEAN telah menerima penggunaan blockchain kerana teknologi itu kian penting dan berkembang pesat melangkaui pasaran mata wang kripto.

Iklan
Iklan

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Ethikom Consultancy, Nizam Ismail berkata, teknologi blockchain dengan jelas telah menjadi pemangkin kemajuan kawal selia apabila pengawal selia ASEAN dengan aktif terlibat dengan pelaksanaan blockchain dalam perkhidmatan kewangan, serta pengumpulan dana korporat.

"Pertimbangan asas terhadap dasar kini telah meliputi fokus kepada perlindungan pelabur sehingga kepada menjadi pemudah cara.

Iklan

"Sebagai contoh, Malaysia telah mengambil pendirian untuk memasukkan peraturan mata wang kripto dalam rangka kerja keselamatan dan memperkenalkan perlesenan untuk pertukaran mata wang kripto,” katanya.

Ketua Pegawai Risiko Kumpulan Maybank Banking Bhd, Gilbert Kohnke berkata, perkara yang paling penting adalah bekerjasama rapat dengan pengawal selia bagi memahami sepenuhnya dan mengambil kira kes penggunaan dan risiko sebelum melaksanakan apa-apa produk atau perkhidmatan berkaitan kripto.

Iklan

"Sebagai bank perdagangan terbesar di Malaysia, kami mempunyai tanggungjawab kepada pelanggan dan rakan kongsi kami untuk melindungi keselamatan dan kepentingan kewangan mereka," katanya.

Sementara itu, pengerusi bersama Persatuan Blockchain, Chia Hock Lai berkata, kemunculan bank digital dijangka dapat mempercepatkan penggunaan aplikasi blockchain di luar mata wang kripto dalam jangka masa sederhana hingga panjang, seperti token tidak sepiawai (NFT), kewangan tidak terselaras (DeFi) dan tokenisasi aset dunia nyata.

Pengarah Urusan Algorithma, Sankalp Shangari berpendapat bahawa penggunaan teknologi blockchain juga akan terus berkembang dalam produk selain daripada mata wang kripto.

"Kes penggunaan semakin berkembang dan akan terus berkembang kerana orang ramai kini menggunakan NFT untuk menghasilkan seni dan muzik,'’ ujarnya.

Webinar itu adalah siri ketujuh Invest ASEAN 2021- persidangan pelabur tahunan utama Maybank Kim Eng yang berlangsung sehingga bulan depan.

Tajuk seterusnya, 'Decarbonising ASEAN', akan diadakan pada 22 Julai, 2021. - Bernama