CYBERJAYA - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengeluarkan 64 kompaun bernilai RM3.2 juta kepada empat syarikat telekomunikasi pada suku kedua tahun ini.
Menurut SKMM dalam kenyataan pada Jumaat, kompaun itu dikeluarkan berikutan kegagalan syarikat itu mematuhi rancangan penomboran dan pengalamatan elektronik serta ketidakpatuhan kepada Garis Panduan Prabayar bagi pendaftaran pengguna akhir.
Maxis Broadband Sdn Bhd dikenakan 54 kompaun berjumlah RM2.7 juta setelah gagal mematuhi rancangan penomboran dan pengalamatan elektronik.
Kompaun itu dikeluarkan mengikut Peraturan 4 (2) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Penomboran) 2016.
SKMM mengeluarkan 10 kompaun atas ketidakpatuhan kepada Garis Panduan Prabayar bagi pendaftaran pengguna akhir kepada U Mobile Sdn Bhd dengan lima kompaun berjumlah RM250,000, masing-masing dua kompaun bernilai RM100,000 kepada Maxis Broadband dan Digi Telecommunications Sdn Bhd serta satu kompaun bernilai RM50,000 kepada XOX Com Sdn Bhd.
Kompaun itu dikeluarkan mengikut Seksyen 127 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
"Tindakan ini diambil bagi memastikan hak pengguna diberi keutamaan dalam memilih syarikat telekomunikasi berdasarkan kepada perkhidmatan yang ditawarkan,” menurut SKMM.
SKMM menyatakan ia memandang serius kesalahan yang dilakukan oleh syarikat telekomunikasi tersebut dan menggesa mereka agar lebih tegas terhadap ejen-ejen dalam mematuhi garis panduan yang ditetapkan serta tidak mengabaikan aspek keselamatan dalam usaha membendung jenayah siber dan kepentingan pengguna. - Bernama