Peniaga, pengunjung lega kedai kembali beroperasi

Iklan
Kelihatan orang awam mengunjungi kedai peralatan buku dan alat tulis berikutan kerajaan telah membenarkan beroperasi sepanjang tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) ketika tinjauan di Kedai Buku dan Alat Tulis Sri Pustaka Maju, Bandar Sri Permaisuri hari ini. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Pengusaha kedai komputer, telekomunikasi serta kedai buku dan alat tulis menarik nafas lega apabila mendapat sambutan ramai daripada pengunjung selepas dibenarkan beroperasi oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) bermula Jumaat.

Selain itu, tinjauan Bernama mendapati ramai pengunjung hadir ke premis perniagaan terbabit bagi mendapatkan barangan keperluan untuk pembelajaran dan bekerja.

Iklan
Iklan

Pengusaha syarikat telekomunikasi, Mohd Habil Bujang, 21, berkata sambutan pada hari pertama amat memberangsangkan berbanding dengan penjualan secara dalam talian.

"Gajet telekomunikasi pada waktu ini adalah barangan penting bagi pelajar sekolah dan pelajar institut pengajian tinggi yang menjalani pengajian dan pembelajaran di rumah (PdPR),” katanya kepada Bernama pada Jumaat.

Iklan

Mohd Habil berkata, antara barangan keperluan laris terjual adalah fon telinga, kabel dan kamera sesawang yang melengkapi PdPR di rumah.

Pengusaha kedai alat tulis, Kit Liew Yong Jie, 28, berpendapat pembukaan kedai alat tulis membuka ruang bagi peniaga kecil menaikkan penjualan mereka selain daripada jualan dalam talian.

Iklan

"Penjualan secara dalam talian tidak mendatangkan hasil sama seperti penjualan di kedai fizikal kerana ibu bapa lebih memilih untuk membeli barang secara bersemuka. Pelanggan akan diberikan nombor sebagai langkah untuk memastikan mereka mematuhi prosedur operasi standard (SOP) di dalam kedai,” katanya.

Katanya, bagi mengelakkan terjadi kluster alat tulis hanya 20 pelanggan dibenarkan masuk ke dalam premis dalam satu masa.

Pelanggan kedai berkenaan Che Faridah Che Osman, 54, berkata, pembukaan kedai buku dan alat tulis penting kerana ibu bapa dapat membeli buku rujukan, buku latihan dan barang keperluan lain untuk pembelajaran anak-anak.

"Penutupan sektor itu sebelum ini membuatkan ibu bapa terbeban kerana guru akan bagi pelbagai latihan contohnya latihan mewarna untuk anak-anak. Jadi penutupan adalah tidak wajar kerana ia adalah satu kepentingan kerana pembelajaran secara dalam talian masih berjalan seperti biasa,” katanya.

Tinjauan Bernama juga mendapati kebanyakan ibu bapa mementingkan penggunaan telefon pintar berbanding laptop dan komputer kerana faktor kewangan.

Pemilik syarikat komputer, Murni Abdul Kas, 32, berkata sebelum pembukaan, perniagaan servis komputer terjejas kerana bayaran sewa masih berjalan seperti biasa semasa penutupan kedai selain tidak mendapat sambutan walaupun mengadakan perkhidmatan secara dalam talian berbanding secara bersemuka.

"Servis dalam talian kurang mendapat sambutan kerana pelanggan ingin melihat kualiti dan servis laptop secara praktikal,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataannya pada Khamis dipetik sebagai berkata, sidang khas MKN bersetuju untuk memberi kebenaran operasi sektor berkenaan setelah mengambil kira maklum balas pelajar, ibu bapa serta tenaga pengajar. - Bernama