Pandu uji kereta: Polis keluar kompaun terhadap MB Kedah

Iklan
Muhammad Sanusi Md Nor
GEORGE TOWN- Polis Pulau Pinang sudah menerima arahan dan akan mengeluarkan kompaun ke atas Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor dalam masa terdekat.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain ketika dihubungi berkata, kompaun akan dikeluarkan kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) dengan memandu uji kereta di sebuah pusat jualan dan pameran kenderaan di Autocity Juru, Pulau Pinang bulan lepas.

Mohd Shuhaily berkata pihaknya sudah menerima arahan tersebut namun enggan mengulas lanjut.

Iklan
Iklan

"Arahan kita sudah terima dan akan disampaikan kepada pejabat Menteri Besar dalam masa terdekat.

"Kenyataan rasmi dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) akan dikeluarkan selepas proses penyerahan dilakukan dalam masa terdekat," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Iklan

Sebelum ini, kertas siasatan kes tersebut telah dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN) Pulau Pinang.

Siasatan kes itu dijalankan menurut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 17(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

Iklan

Pada 5 Jun lepas, tular gambar dan video memaparkan individu dipercayai Muhammad Sanusi memandu uji sebuah kereta sedangkan negara kini berada di bawah sekatan pergerakan penuh yang mana pusat jualan dan pameran kenderaan tidak dibenarkan beroperasi.

ARTIKEL BERKAITAN Pandu uji kereta: MB Kedah sedia dikenakan tindakan

Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah, Afnan Hamimi Taib Azamudden bagaimanapun menafikan Muhammad Sanusi melanggar SOP dengan memandu uji kereta di sebuah pusat jualan dan pameran.

Polis kemudian telah mengambil keterangan Muhammad Sanusi dan beberapa orang saksi berhubung kes tersebut.

Kes Muhammad Sanusi mendapat reaksi meluas rakyat negara ini kerana kesalahan itu didakwa dilakukan ketika negara sedang menjalani Sekatan Pergerakan Penuh Jun lepas.

Sementara itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, dilaporkan berkata kegagalan segelintir anggota Kabinet mematuhi SOP dikenal pasti antara faktor menghakis kepercayaan rakyat terhadap keberkesanan sekatan pergerakan penuh atau 'total lockdown'.

Ujarnya pemimpin sebaliknya harus menerajui negara dengan mencerminkan contoh baik kepada rakyat. - Awani