SEBELUM ini, menguasai setiap penjuru gelanggang boleh dianggap 'makanannya'. Namun, beliau kini berasa agak kekok apabila berdiri di gelanggang yang berlainan.
Perkara itu dikongsi Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Tokyo 2020, Datuk Lee Chong Wei bersama barisan atlet negara yang bakal bertanding di Tokyo nanti.
Mengakui tugasan berkenaan bukanlah kepakarannya, bekas jaguh badminton negara itu berharap apa yang disampaikannya berdasarkan kepada pengalaman sendiri dapat memberi manfaat kepada barisan atlet negara.
"Sehari dua ini saya berkesempatan meluangkan masa bersama jaguh terjun dan badminton tanah air. Korang (anda) pun tahu dalam bab-bab nak bagi ucapan motivasi bukanlah forte saya.
"Tapi saya berharap dengan perkongsian pengalaman di Sukan Olimpik sebelum ini, sedikit sebanyak dapat menenangkan emosi atlet-atlet muda kita ini menjelang Tokyo 2020,” katanya di Facebook miliknya.
Pada masa sama, Chong Wei berharap kesemua 30 atlet negara dapat menghadiahkan perkhabaran gembira dari Tokyo 2020 kepada rakyat Malaysia yang masih 'berperang' dengan pandemik Covid-19 ketika ini.
"Angka kes Covid-19 semakin meningkat. Rakyat sedih, orang ramai mula risau dan resah. Saya amat berharap melalui Tokyo 2020, kita akan sekurang-kurangnya menghadiahkan perkhabaran gembira yang dapat menyerikan kembali negara kita.
"Para atlet, kamulah jaguh negara. Berjuang tanpa rasa takut #DemiMalaysia. Kami memerlukan anda. Kali ini anda mewakili bukan sahaja Malaysia, tetapi juga harapan kami,” ujarnya.