Myanmar sudah jatuh, ditimpa tangga

Iklan
Anggota sukarelawan membawa mayat pesakit Covid-19 dengan menggunakan pengusung di Yangon selepas kes pandemik itu meningkat di Myanmar. - Foto AFP

MYANMAR bukan sahaja mengalami rampasan kuasa tentera yang dilakukan oleh junta tentera secara aman pada 1 Februari lalu bagi menumbangkan kerajaan awam bahkan negara itu kini berdepan dengan peningkatan kes Covid-19 secara mendadak.

Peningkatan kes itu disumbangkan oleh penularan varian Delta dari India, runtuhnya sistem penjagaan kesihatan dan ketidakyakinan penduduk terhadap apa sahaja yang berkaitan dengan tentera negara tersebut.

Iklan
Iklan

Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Hak-Hak Asasi Manusia di Myanmar Tom Andrew dilaporkan berkata, masalah itu umpama 'ribut sempurna' yang menyebabkan kehilangan banyak nyawa di negara berkenaan.

Berikutan itu, beliau menggesa supaya masyarakat antarabangsa menyelaraskan bantuan kemanusiaan kepada badan-badan bukan politik termasuk terlibat melakukan program vaksinasi ke atas penduduk Myanmar

Iklan

Pelapor itu juga dilaporkan berkata bahawa pihak junta tentera mengalami kekurangan sumber-sumber dan kemampuan untuk mengawal pandemik tersebut ketika ini.

Pandemik yang semakin meningkat di Myanmar itu menyebabkan sejumlah penduduk sanggup melanggar perintah berkurung pihak tentera bagi mendapatkan bekalan oksigen bagi anggota keluarga mereka bernafas dengan sempurna ekoran varian Delta melanda negara berkenaan.

Iklan

Peningkatan kes Covid-19 itu merupakan tamparan buat negara tersebut selepas lebih 900 orang terbunuh akibat tindakan tegas pihak tentera menyuraikan tunjuk-tunjuk perasaan bagi membantah rampasan kuasa tersebut yang juga turut menjejaskan ekonomi Myanmar.

Pada Rabu lalu, ratusan orang dilihat beratur di Yangon dengan harapan mereka akan dapat mengisi semula tabung oksigen untuk dibawa pulang untuk digunakan bagi membantu ahli keluarga mereka yang dijangkiti dengan virus Covid-19.

Situasi yang sama sebelum ini juga terjadi di Indonesia apabila ramai orang beratur di sebuah kedai bagi mengisi semula tabung oksigen dengan bayaran yang murah di Jakarta Selatan untuk membantu ahli keluarga mereka bernafas walaupun tidak dijangkiti pandemik tersebut.

Bagaimanapun, di Yangon, sebahagian penduduk sanggup membawa kerusi sendiri untuk duduk ketika menunggu dalam barisan panjang untuk mendapatkan bekalan oksigen.

Namun, terdapat seorang lelaki yang terlewat untuk mengisi semula tabung oksigen kerana saudara kandungnya meninggal dunia terlebih dahulu.

Menurut lelaki itu, Than Zaw Win, saudara kandungnya itu dijangkiti dengan Covid-19 beberapa hari lalu dan pada hari pertama, dia berasa pening kerana tekanan darahnya rendah dan tidak dapat bernafas dengan baik.

Semasa beratur untuk mengisi oksigen ke dalam tabung tersebut baru-baru ini, anak saudaranya menghubungi Zaw Win dan memberitahu supaya pulang ke rumah kerana saudara kandungnya itu sudah meninggal dunia, katanya kepada AFP.

Orang ramai menunggu untuk mengisi semula tabung oksigen mereka di luar sebuah kilang di Yangon baru-baru ini. - Foto AFP

Pada Rabu lalu, pihak berkuasa melaporkan lebih 7,000 kes harian baharu Covid-19 di negara tersebut berbanding hanya lebih 50 kes harian pada awal Mei lalu.

Namun, pada petang Jumaat lalu, Myanmar dilaporkan mencatatkan kes harian sebanyak 4,188 dan 165 kematian manakala kes keseluruhan Covid-19 ialah 212,545 orang dengan angka kematian keseluruhan ialah 4,346 orang.

Angka kematian akibat pandemik itu juga semakin meningkat manakala anggota-anggota sukarelawan pula melakukan kerja-kerja mereka dengan mengangkat mayat-mayat pesakit Covid-19 keluar dari rumah-rumah di Yangon.

Seorang kelasi, Ye Kywaw Moe memberitahu AFP, dia meyelinap keluar dari rumahnya pada jam 3 pagi waktu tempatan iaitu 30 minit lebih awal sebelum perintah berkurung tamat dan disambung balik oleh pihak tentera.

Beliau sanggup berbuat demikian untuk beratur awal bagi mendapatkan bekalan oksigen.

Namun, sebaik tiba di pusat mengisi semula bekalan oksigen itu di Yangon, sudah ada 14 orang lagi yang beratur di depannnya.

Sungguhpun begitu, dia berhati-hati menyelinap keluar bagi mengelak askar-askar dapat mengesan tindakannya kerana negara tersebut masih ditadbir di bawah undang-undang tentera.

Bagaimanapun, pihak tentera yang mentadbir negara itu melalui Majlis Pentadbiran Negara sebaliknya berkata bahawa bekalan oksigen mencukupi dan orang ramai tidak perlu berasa cemas.

Menurut akhbar Global New Light Myanmar pada Selasa lalu, ketua junta tentera, Jeneral Min Aung Hlaing meminta orang ramai jangan menyebarkan khabar angin kerana bekalan oksiden di negara berkenaan sebenarnya adalah mencukupi.

Walaupun begitu, kadar vaksinasi Covid-19 dilihat terlalu perlahan apabila hanya hampir dua juta orang sudah divaskin di negara yang mempunyai 54 juta penduduk itu.

Bagi menghalang penularan pandemik itu, pihak tentera mengumumkan 'lockdown' akan dilaksanakan pada minggu depan di seluruh negara manakala orang ramai dilarang keluar merentas wilayah kecuali untuk urusan pengebumian atau menyempurnakan tugas-tugas.

Hanya kedai menjual barang penting, ubat-ubatan dan bekalan perubatan dibenarkan dibuka dan orang ramai perlu memakai pelitup muka dan peralatan perlindungan jika mereka keluar dari rumah. - Agensi